KANGAR: Jurulatih tempatan menjadi pilihan bagi menggantikan Ketua Jurulatih Perlis Razip Ismail yang melepaskan jawatannya malam Sabtu, kata Pengurus Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Afifi Osman. Beliau berkata tiga nama sudah disenarai pendek bagi membimbing skuad Singa Utara menghadapi saingan seterusnya, namun beliau enggan mendedahkan nama tersebut. "Senarai pendek calon untuk mengisi kekosongan berkenaan sudah ada dan kita juga telah memanjangkan tawaran kontrak secara bertulis kepada mereka. "Namun, kita jangkakan keputusan akan diketahui selewat-lewatnya sebelum Perlis menentang Sarawak dalam saingan Piala FA pada Sabtu depan (11 Mac)," katanya. Kontrak Razip sepatutnya sehingga akhir tahun ini, namun beliau memilih untuk mengundurkan diri, katanya. Jawatan ketua jurulatih skuad Singa Utara kosong setelah Razip meletak jawatan susulan kekalahan memalukan 0-5 Perlis kepada Kuantan FA dalam saingan Liga Perdana di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam Sabtu. Perlis kini menduduki tempat tercorot dalam Liga Perdana, dengan hanya mengutip dua mata selepas lapan perlawanan. - BERNAMA