KUALA LUMPUR: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super selepas menang tipis 2-1 ke atas PKNS FC pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu malam. Kemenangan ketujuh itu menyaksikan skuad Harimau Selatan meraih 23 mata selepas beraksi 10 perlawanan setakat ini. Pada aksi di Larkin, Bobby Gonzales meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-32 sebelum JDT menyamakan kedudukan, selang tiga minit kemudian setelah pemain lawan, Mathias Nicolas menolak masuk bola ke dalam gawang sendiri. Skuad Harimau Selatan meraih gol kemenangan pada minit ke-55 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Safiq Rahim setelah penyerang JDT, Gonzalo Gabriel Cabrera dijatuhkan pemain lawan di dalam kotak penalti. Pahang pula mengekalkan kedudukan kedua liga setelah mencatat keputusan seri 2-2 menentang Selangor di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Dua gol skuad Tok Gajah dijaringkan kapten pasukan, Matthew Davies pada minit ke-10 dan Mohd Faisal Mohd Rosli pada minit ke-87, manakala dua gol Selangor disumbangkan Juliano Mineiro Fernandes pada minit kelima serta sepakan penalti yang disempurnakan Francis Forkey Doe pada minit ke-65. Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, empat jaringan penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar membantu Kelantan mencatat kemenangan selesa 5-1 ke atas pasukan tuan rumah. Mohamad Ghaddar melakar empat jaringan, masing-masing pada minit ke-19, 24, 56 dan 76 selain gol daripada Muhd Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-89, manakala gol tunggal Pulau Pinang dijaringkan oleh Mohd Syukur Saidin pada minit ke-35. Dalam pada itu, Sarawak dan Melaka United gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah mencatat keputusan seri berdepan lawan masing-masing. Di Stadium Negeri, Sarawak terikat 3-3 menentang Perak manakala Melaka United diikat 1-1 oleh Felda United pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka. Sementara itu, rekod tanpa kalah Kedah dalam saingan liga musim ini lebur setelah diaibkan dengan kekalahan 0-5 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Kemenangan selesa dilakar skuad 'The Titans' turut dibantu oleh layangan kad merah diterima pemain pertahanan Kedah, Mohd Rizal Ghazali yang dibuang padang pada minit ke-30 kerana mengasari pemain T-Team, Mohd Fakhrurazi Musa. Pada aksi berkenaan, pasukan tuan rumah meraih gol menerusi Dilshod Sharofetdinov pada minit kesembilan, Mahamadou Samassa pada masa tambahan separuh masa pertama perlawanan, selain jaringan hatrik Mohd Nor Hakim Hassan pada minit ke-37, 59 dan 64. - Bernama