ANDY Murray mengambil masa dua jam, 39 minit untuk mara ke pusingan keempat Kejohanan Wimbledon. Bintang tenis Britain itu terpaksa berdepan dengan saingan sukar daripada Fabio Fognini sehingga membawa permainan sehingga lima set dengan keputusan 6-2, 4-6, 6-1, 7-5. Murray yang juga juara bertahan kejohanan ini tidak mudah mengalah melayan servis pemain Itali itu sehingga mata akhir kemenangan menjadi miliknya. "Saya gembira berjaya melalui minggu ini dengan baik walaupun sedar tidak bermain dengan prestasi terbaik setakat ini. "Bagaimana pun saya yakin akan memperbaiki corak permainan. Perlawanan ini ada turun naiknya dan ketika set terakhir ia agak memberi tekanan kepada saya. "Saya akhirnya dapat mencari rentak yang baik sebelum meraih kemenangan sekaligus melepaskan saya daripada 'tempoh gelap' ini," ujar pemain No.1 Dunia ini. Murray yang mara ke pusingan keempat buat kali kesepuluhan berturut-turut kejohanan ini, bakal berdepan dengan pemain Perancis, Benoit Paire.