LIVERPOOL dilaporkan bersetuju untuk berunding dengan Barcelona mengenai perpindahan Philippe Coutinho selepas maklum balas positif antara pemilik kelab, Fenway Sports Group dan wakil pemain Brazil itu. Menurut laporan, Liverpool akan mendapatkan pengganti Coutinho sebelum jendela perpindahan pemain ditutup Khamis ini. Kemudian Coutinho akan dibenarkan berhijrah ke Camp Nou dengan perpindahan bernilai 150 juta euro. Liverpool mahu mendapatkan pengganti Coutinho sebelum pemain berusia 25 tahun itu angkat kaki bagi mengelak mengeluarkan belanja lebih besar. Barcelona mengesahkan telah memuktamadkan perpindahan Ousmane Dembele pada Jumaat dengan bidaan 105 juta euro. Dembele baharu sahaja menandatangani kontrak bersama Borussia Dortmund pada Mei lalu bernilai 15 juta euro.