LEGENDA Chelsea, Marcel Desailly menasihati pihak pengurusan tertinggi bekas kelabnya itu supaya tidak memecat Antonio Conte, sebaliknya perlu menjual empat atau lima pemain yang kurang menonjol. Conte dijangka meninggalkan kelab itu pada hujung musim ini selepas mempamerkan prestasi hambar pada musim kedua di Stamford Bridge. Pengendali kelahiran Itali itu menjulang Chelsea memenangi trofi Liga Perdana Inggeris pada musim pertamanya. Namun hubungannya dengan lembaga pengarah Chelsea mulai dingin musim ini selepas dia tidak dibenarkan campur tangan dalam strategi perpindahan kelab itu. "Apa yang Conte lakukan musim lalu tidak menunjukkan hasil sama kali ini. Sebelum ini mereka menukar jurulatih dan menyimpan pemain. Kali ini mereka perlu mengekalkan jurulatih dan menjual empat atau lima pemain sedia ada. Matic menyertai Manchester United pada musim panas lalu. "Prestasi pemain terbaik anda merosot dan Chelsea tidak membeli pemain yang sesuai dengan kebolehan pasukan pada musim panas lalu. "Pemain seperti Victor Moses dan Marcos Alonso beraksi cemerlang musim lalu tetapi mereka memerlukan sokongan musim ini. "Chelsea gagal mengulangi kejayaan sama musim ini. Saya tidak fikir ia kesilapan Conte - pemain perlu berikannya kejayaan seperti musim lalu," katanya. Lebih teruk, Conte berang apabila lembaga pengarah Chelsea membenarkan Nemanja Matic menyertai Manchester United dan kelab itu gagal mendapatkan Alex Oxlade-Chamberlain, Romelu Lukaku dan Fernando Llorente. Malah, Desailly percaya keputusan Chelsea melepaskan Matic dan Diego Costa pada musim panas lalu turut memberi impak besar kepada pasukan itu. "Costa boleh menjaringkan 10 gol lebih banyak berbanding penggantinya (Alvaro Morata). Jadi barangkali mereka mungkin boleh menang lima lagi perlawanan dan ia satu perbezaan yang ketara," katanya.