PEMAIN bek kiri England, Luke Shaw percaya bahawa pengurus Manchester United, Jose Mourinho berhak mengkritiknya. Shaw berkata pada Selasa, jurulatih dari Portugal itu menjadi kunci utama kepada kemunculan semula dirinya di pentas antarabangsa. Pemain berusia 23 tahun itu disenaraikan dalam skuad England untuk kali pertama dalam tempoh 18 bulan bagi perlawanan Liga Negara-Negara Uefa menentang Sepanyol pada Sabtu; dan perlawanan persahabatan bertemu Switzerland pada Selasa. Kembalinya Shaw ke pentas antarabangsa diikuti dengan permulaan yang kuat dalam musim ini. Shaw bermain setiap minit bagi empat perlawanan pembukaan United selepas dia bergelut untuk masuk ke dalam skuad tersebut pada penggal lalu. Lebih-lebih lagi apabila Mourinho pernah mengkritik tentang sikap Shaw. Ketika ditanya mengenai bagaimana dia dilayan oleh pengurus United itu, Shaw berkata: "Saya rasa dia kecewa dengan saya kerana dia tahu saya boleh melakukan lebih baik, apabila saya melihat semula, mungkin dia betul. "Ia adalah satu tahun yang sukar tetapi ia menjadikan saya lebih kuat daripada segi mental, saya ingin membuktikan kepadanya bahawa saya boleh melakukan apa yang dia katakan saya tidak boleh. "Saya telah berbual dengan pengurus sebelum musim bermula dan dia mahu saya kekal. "Saya telah matang, saya berubah daripada seorang budak kepada seorang lelaki dewasa, saya tahu apa yang perlu saya lakukan untuk meningkatkan kemampuan diri saya. "Saya mahu bermain untuk Manchester United, kekal di sana dan membuktikan nilai saya kepada pasukan," katanya pada sidang akhbar yang berlangsung Selasa. Shaw merupakan salah seorang pemain remaja termahal dalam bola sepak antarabangsa ketika dia berpindah ke Old Trafford dari Southampton pada Jun 2014. Nilai perpindahan itu mencecah 27 juta pound (RM143 juta). Shaw berusia 18 tahun ketika perpindahan itu berlaku. - Reuters/Eurosport