PENGURUS Liverpool Jurgen Klopp tidak berminat untuk mendapatkan khidmat bintang Arsenal, Aaron Ramsey kerana dua sebab. Arsenal memberitahu Ramsey minggu ini dalam satu pertemuan serampang dua mata bahawa dia tidak akan ditawarkan kontrak baharu. Ini bermaksud bintang Wales itu akan meninggalkan Arsenal sama ada pada Januari atau hujung kempen musim ini. Liverpool turut dikaitkan dengan spekulasi perpindahan pemain berusia 27 tahun itu tetapi Daily Mirror melaporkan The Reds tidak berminat untuk mengemukakan sebarang bidaan. Bidaan itu tidak dilakukan kerana Liverpool merasakan Ramsey tidak memenuhi kriteria pemain yang dicari Liverpool dan Klopp. Ramsey akan berusia 28 tahun pada Boxing Day dan Klopp tidak berminat untuk membawa masuk pemain ke Anfield yang menghampiri usia 30 tahun. Sebab lain Liverpool tidak berminat terhadap Ramsey adalah selepas melihat rekod kecederaan pemain tengah itu. Manchester United dan Chelsea turut menunjukkan minat terhadap Ramsey. Namun bekas pemain Liverpool, Steve McMahon menyifatkan Liverpool melakukan kesilapan besar apabila tidak mengambil peluang untuk membawa masuk Ramsey. "Liverpool akan lebih bagus jika membawa masuk Ramsey. Dia pemain tengah berkualiti yang tiada dalam Liverpool," katanya. - Metro.co.uk