suria

Puchong United gah pertahankan trofi kejuaraan SS Purple League

KELAB Badminton (BC) Puchong United gah mempertahankan kejuaraan SS Purple League (SSPL) 2018/19 apabila muncul juara setelah menewaskan Kepong BC 10-6 dalam aksi final di Arena Of Stars, Resorts World Genting pada Ahad.

Turun tanpa beberapa pemain utama seperti Goh Liu Ying, Ong Yew Sin, Liew Daren dan beberapa lagi pemain tidak menghalang Puchong United BC beraksi mantap mengekalkan kejuaraan mereka dalam SSPL musim ini.

Bagaimanapun, Kepong BC terlebih dahulu garang memulakan langkah dalam pentas final dengan pemainnya Soong Joo Ven membenam pemain Puchong United BC, Goh Giap Chin 3-1 (8-11, 11-6,11-6, 11-10).

Tersentap dengan kekalahan dalam acara awal, Puchong United bangkit semula menerusi perseorangan wanitanya, Deng Xuan yang menang mudah 3-0 (11-10, 11-10, 11-6) ke atas Qin JinJing.

Dominasi Puchong United berterusan dalam acara beregu lelaki. Kali ini giliran pemainnya, Mak HeeChun- Tan Boon Heong menumbangkan gandingan Mads Conrad Petersen- Rian Agung Saputro 3-1(5-11, 11-9, 11-10, 11-10).

Kemenangan itu meletakkan Puchong United mendahului kedudukan 7-4.Set beregu campuran selepas itu penuh mendebarkan memandangkan tiga set kemenangan akan membawa Puchong United mendakap kejuaraan dan Kepong BC pula memerlukan kemenangan untuk mengejar kedudukan.

Turun dalam aksi penting, beregu campuran Puchong United, Eom Hyewon- Tang Chun Man berjaya menyerap tekanan biarpun mereka ketinggalan dua set pada satu ketika.

Akhirnya, pasangan tersebut menang 3-2 (11-7, 10-11, 10-11, 11-10, 2-1) dalam 30 minit masa perlawanan mengecewakan Cheah Yee See- Ricky Karandasuwardi dan keseluruhan pasukan Kepong BC untuk muncul juara SSPL musim ini.

Mengulas mengenai pasukan Puchong United, Pengurus Pasukan, Irina Inozemtseva berkata: “Saya rasa setiap orang di dalam stadium dan di rumah dapat menyaksikan aksi final yang penuh mendebarkan ini. Secara keseluruhan musim ini, pasukan saya telah melakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga kita muncul juara.

“Sebelum liga bermula, saya sudah katakan juara datang dan pergi namun legenda akan meninggalkan legasi. Itulah matlamat kami di Puchong United BC."

Untuk rekod, setelah lima musim SSP L, Muar City BC pernah menjulang kejuaraan sebanyak dua kaliiaitu pada musim 2014/15 dan 2015/16, Petaling Jaya BC pula muncul juara untuk musim 2016/17 manakala Puchong United pada musim lepas, 2017/18.

Hadir menyaksikan aksi akhir SSPL dan juga turut menyampaikan piala, medal serta replika cek kepada pemenang adalah Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Juara SSPL 2018/19 menerima piala dan hadiah wang berjumlah RM520,000.

Naib juara pula menerima RM265,000, ketiga RM185,000, keempat RM160,000, kelima RM130,000, keenam RM110,000, ketujuh RM70,000 dan kelapan RM60,000.

Puchong United, SSPL

Artikel Lain