suria

Rekaan klasik, butiran manik tetap jadi pilihan pengantin 2019

SEHELAI gaun pengantin mampu mengungkap nilai sentimental dan pesona individu yang memakainya.

Kombinasi elemen tradisional Melayu dan vintaj eropah dengan hiasan manik menjadikan koleksi busana perkahwinan daripada jenama terkemuka Fiziwoo terus mendapat tempat di hati bakal mempelai.

Pereka fesyen, Izree Kai Haffiz berkata, himpunan terbaharu busana perkahwinan rekaannya cuba menonjolkan sisi matang jenama itu dengan menekankan perincian manik jahitan tangan.

"Kami ingin membuka lembaran fesyen busana perkahwinan 2019 dengan menonjolkan identiti Fiziwoo.

"Kami lebih menekankan aspek potongan dan mencabar diri dengan kerja tangan yang lebih halus kerana kami tahu itu forte yang kami miliki," katanya ketika ditemui mStar Online pada acara The Wedding KL 2019 bertempat di JW Marriott Kuala Lumpur.

Tambah menarik himpunan terbaharu ini hadir dengan rekaan korset asas, pakaian memeluk tubuh dengan lapisan tulle yang memberikan elemen seksi dan menggoda namun cukup feminin.

ARTIKEL BERKAITAN: Perempuan nampak lebih cantik pakai bulu mata palsu? Kami cuba buktikan persepsi itu salah

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin lelaki jangan pandang remeh, anda juga perlu grooming!

Fabrik tulle yang dipadankan bersama perincian manik menyerlahkan sisi kelembutan yang menawan.

"Busana pengantin sudah menjadi sesuatu yang sangat dekat dengan jiwa kami kerana Fiziwoo juga bermula dengan koleksi bridal suatu masa dahulu.

"Kami menghabiskan masa satu bulan setengah untuk menyiapkan koleksi ini dan ianya agak mencabar kerana masa sangat singkat untuk bridal dress sebenarnya. Alhamdulillah, kami berjaya menyiapkannya meskipun tak cukup tidur," ujarnya.

Dikenali sebagai seorang pakar dalam hasil perincian manik, Fiziwoo tahu apa yang terbaik untuk pelanggannya.

Rona putih ivory lambang kasih sejati, penyatuan dua hati turut diterjemahkan menerusi keanggunan busana yang dibentuk menerusi gabungan fabrik tulle dan labuci ini.

Sempena pameran The Wedding KL 2019, Fiziwoo menampilkan 16 jenis koleksi busana perkahwinan.

Sementara itu, jenama fesyen tempatan yang tidak asing lagi, Mimpi Kita turut menampilkan sesuatu yang istimewa khusus untuk koleksi perkahwinan tahun ini.

Menurut pengarah kreatifnya, Nurul Zulkifli, koleksi kali ini menampilkan busana dengan ciri klasik namun masih mengekalkan gaya moden dengan potongan siluet ringkas.

"Mimpi Kita sinonim dengan motif-motif cetakan. Untuk tahun ini, kami cuba tampilkan sesuatu yang baharu dimana koleksi tahun ini berinspirasikan bunga-bungaan.

"Istimewanya kali ini kami banyak bermain dengan teknik sulaman dan jahitan manik. Dari segi rekaan pula kami memilih classic look, potongan siluet yang agak ringkas tetapi moden," katanya.

Mimpi Kita mempersembahkan 15 rekaan gaun termasuk satu busana perkahwinan dengan seluar sempena The Wedding KL 2019.

Kesemua koleksi busana pengantin jenama ini boleh dibeli di butik atau secara atas talian.



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi