suria

Elak nasi berserta aneka lauk ketika sahur antara 5 tip kekal bertenaga sepanjang Ramadan

Elakkan pengambilan minuman bergula ketika Ramadan.

BERMULA 13 April 2021, umat Islam akan menyambut bulan Ramadan yang mempunyai pelbagai keberkatan dan peluang mendapatkan ganjaran.

Berpuasa juga sebenarnya memberikan manfaat untuk kesihatan sekiranya kita mengambil makanan sihat dan bernutrisi tinggi pada waktu sahur dan berbuka puasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan dipaksa, apa kata amalkan 5 tip ini didik anak-anak berpuasa

Berikut adalah beberapa tip bagi membolehkan ibadah puasa dapat dijalani dengan sihat selain membolehkan kita melakukan aktiviti harian seperti biasa.

1. Pastikan badan cukup air

Badan kita memerlukan cecair secukupnya namun ketika berpuasa kita perlu bijak menguruskan perkara itu dengan pengambilan air pada waktu sahur, berbuka puasa dan sebelum tidur.

Pastikan kita minum air yang mencukupi dan bukannya berlebihan agar tubuh dapat menyerap cecair dengan baik meskipun sedang berpuasa.

2. Elak minuman manis

Selain memastikan tubuh terhidrasi dengan baik, sebaik-baiknya minum air putih dan bukannya minum minuman manis terutamanya ketika bersahur. Ini kerana kandungan gula dalam minuman boleh membuatkan seseorang cepat berasa dahaga.

Bagi yang ingin berdiet, inilah masanya untuk mencabar diri anda untuk tidak mengambil sebarang gula sepanjang Ramadan - bukan sahaja dapat turunkan berat badan tetapi menjadi lebih sihat.

3. Bersederhana ketika berbuka

Ingat, berbuka puasa bukanlah untuk kita 'membalas dendam' selepas seharian menahan lapar dan dahaga. Malah dalam Islam sendiri mengajar kita untuk bersederhana ketika berbuka.

Jangan terus mengambil makanan berat seperti lauk pauk yang digoreng atau berminyak kerana ia mampu menyebabkan kolesterol dan tekanan darah meningkat secara tiba-tiba.

Lebih baik berbuka puasa dengan menjamah buah kurma yang mengandungi pelbagai khasiat dan air putih agar perut tidak berasa terkejut.

4. Menu sahur yang tepat

Pemilihan sepinggan nasi dengan pelbagai jenis lauk ketika bersahur nampak boleh mengenyangkan sehingga waktu berbuka tetapi ia tidak baik untuk sistem penghadaman.

Sistem penghadaman perlu bekerja keras untuk memproses semua makanan itu yang akhirnya membuatkan kita berasa cepat lapar.

Pilih menu yang kaya dengan serat, yogurt, buah-buahan dan sayur-sayuran serta buah kurma yang lebih mengenyangkan dan boleh memberi tenaga sepanjang hari.

5. Tetap aktif

Berpuasa bukan bererti kita perlu mengurangkan aktiviti fizikal dan menjadikan ia alasan untuk bermalas-malasan. Jika mengamalkan diet yang seimbang, tubuh kita dapat berfungsi seperti biasa. Jadi, jangan asyik tidur saja!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain