suria

Bunyi orang menaip, dijenguk tiada manusia... Kaki pemuda bengkak angkara mulut cabul terkena tulah

Kejadian misteri di pejabat bukan perkara asing dan ramai pernah mengalami peristiwa pelik dan menyeramkan. Gambar Sekadar Hiasan

LOKASI seperti tanah perkuburan, rumah tinggalan lama, hospital dan hutan belantara sering dikatikan dengan kisah-kisah mistik.

Ia bukan perkara baharu... Sejak sekian lama tempat-tempat ini sering menjadi bualan yang mengaitkan mengenai kehidupan makhluk halus.

Tidak ketinggalan di pejabat tempat kita mencari rezeki juga antara lokasi yang mempunyai macam-macam kisah seram. 

Bayangkan jika anda berada seorang diri di pejabat pada waktu malam, apa reaksi anda tiba-tiba telefon meja berdering dan apabila dijawab terdengar bunyi-bunyi pelik?

Bayangkan juga ketika anda seorang diri, kedengaran pintu bilik air seolah-olah dibuka dan ditutup serta kedengaran kerusi bergerak. Tentu sekali meremang bulu roma.

ARTIKEL BERKAITAN: Bau pelik, bunyi tapak kaki di koridor… Makhluk suruhan warden ganggu pelajar asrama

Seperti yang berlaku kepada jejaka ini, keberaniannya 'menegur' benda yang menggangunya ketika seorang diri di pejabat telah menyebabkan dia mengalami kejadian pelik dan bertambah parah apabila kakinya bengkak.

Bekerja seorang diri di pejabat sangat menyeramkan. 

Bercerita kepada mStar, Azrel Iskandar memberitahu pertama kali dia diganggu apabila terdengar bunyi seperti ada orang mengetuk papan kekunci komputer peribadi dari arah hadapan tempat duduknya seperti menaip sesuatu.

"Saya masih ingat, bunyi menaip itu berlaku selepas saya solat Maghrib dan kembali ke partition untuk menyiapkan kerja... Ingatkan ada orang lain di pejabat yang masih belum pulang, saya bangun untuk jenguk namun tiada siapa di situ," ceritanya.

Azrel memberitahu meskipun mula berasa seram namun dia tetap meneruskan kerjanya sebelum telinganya sekali lagi menangkap bunyi orang sedang menaip.

"Saya bangkit semula dan tak semena-mena terpacul ayat dari mulut saya, "Hai, nak claim OT jugak ke?" Saya tak tahu kenapa cabul sangat mulut saya tapi selepas itu keadaan kembali normal," tambahnya.

Kaki tiba-tiba membengkak

Azrel memberitahu keadaan tenang itu tidak lama apabila dia mula berasa tidak sedap hati ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sekitar pukul 9 malam dari pejabatnya yang terletak di Cyberjaya, Selangor.

Rumah tinggalan sering dikaitkan dengan cerita mistik.

Keadaan bertambah teruk kata Azrel apabila sampai di rumah kaki kanannya terasa sakit sehingga terpaksa meminta anaknya memijak kakinya bagi mengurangkan rasa sakit.

Namun sebaliknya berlaku apabila dua hari kemudian kaki kanannya itu membengkak secara tiba-tiba sehingga dia terpaksa memakai selipar ke pejabat dan berjalan berdengkot-dengkot.

"Melihat keadaan saya itu, majikan menyarankan saya pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan dan berdasarkan analisis awal doktor mengatakan saya terkena sakit gout.

"Tapi saya tidak pernah ada sejarah penyakit gout. Doktor berikan ubat tahan sakit dan surut bengkak namun selepas dua hari keadaan saya bertambah teruk dan bengkak pada kaki semakin besar dan menyebabkan saya tidak boleh berjalan. Saya terpaksa mengesot untuk ke mana-mana," kongsinya.

Ustaz datang, bengkak dan sakit kaki hilang

Tidak tahan dengan keadaan itu, Azrel berkata, dia meminta bantuan adiknya untuk membawa seorang ustaz ke rumah namun ajaibnya bengkak kaki pada kakinya itu tidak semena-mena surut dan hilang serta-merta.

Memang sengsara betul saya ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Saya tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda dan terpaksa mengambil cuti.

AZREL ISKANDAR 

Pelik dengan keadaannya itu, Azrel mula mengesyaki apa berlaku kepadanya bukan disebabkan penyakit gout tetapi ada sesuatu menganggunya.

"Memang ajaib! Bengkak dan sakit hilang serta-merta... Mungkin 'benda' itu tahu ada ustaz yang akan datang mengubati saya.

"Ketika mendapatkan rawatan, ustaz berkenaan membekalkan daun bidara dan air tawar yang telah dibacakan dengan ayat suci al-Quran," katanya.

Perasaan lega Azrel tidak lama apabila sebaik sahaja ustaz tersebut pulang kakinya kembali membengkak tapi kali ini ia berpindah ke kaki kirinya.

"Memang sengsara betul saya ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Saya tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda dan terpaksa mengambil cuti.

"Ujian darah dan X-ray tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda penyakit dan saya disahkan negatif gout," ujarnya.

Kaki kanan Azrel bengkak tanpa sebab tertentu. - Gambar Sekadar Hiasan

6 ekor makhluk halus 'bersarang' dalam kaki

Lebih tiga minggu terpaksa mengesot dan menahan sakit, Azrel memberitahu dia sekali lagi mendapatkan rawatan perubatan Islam yang diperkenalkan oleh rakan pejabatnya.

Pakar perubatan Islam itu kata Azrel merupakan pasangan adik-beradik dan rawatan dimulakan dengan cuba menarik keluar makhluk halus yang bersarang dalam badannya.

"Si adik cuba menarik keluar 'benda' itu untuk dimasukkan ke dalam badan abangnya untuk sesi soal jawab. Apabila berjaya, si adik bertanya kepada makhluk itu tentang asal-usul mereka dan ia memaklumkan mereka datang dari pejabat tempat saya bekerja!

"Mereka 'tinggal' dalam kaki saya untuk makan sendi-sendi saya. Si adik meneruskan lagi pertanyaan, adakah makhluk tersebut ingin memeluk Islam? Namun dia tidak mahu dan si adik mengambil keputusan untuk menghalau makhluk itu," katanya.

Azrel memberitahu dua beradik itu menghalau makhluk tersebut secara ghaib dan enam ekor yang menumpang di kakinya kesemuanya berjaya dihapuskan.

"Alhamdulillah sehari selepas mendapat rawatan, saya kembali pulih seperti sedia kali dengan izin Allah dan boleh berjalan kembali. Pada ketika itu saya sedar betapa besarnya nikmat berjalan yang Allah berikan.

"Kejadian itu juga memberi pengajaran kepada saya agar jangan tunjuk berani untuk menegur bunyi atau tercium bau pelik yang tiba-tiba berlaku," jelasnya.

Mistik, Pejabat, Makhluk Halus, Hantu

Artikel Lain