suria

Wanita dibunuh, mayat disumbat dalam bagasi... Sepupu syak kematian ada kaitan dengan kes penceraian

Mayat seorang wanita ditemui dalam bagasi oleh seorang kakitangan pembersihan. -Foto Tribunnews

SEORANG kakitangan syarikat pembersihan terkejut apabila menemui sebuah bagasi berisi mayat wanita yang ditinggalkan di dalam belukar, di Jalan Kalimalang, Bekasi, Indonesia.

Menurut polis, identiti mangsa dikenal pasti sebagai Rini Mariany, 50, yang dilaporkan hilang sehari sebelum penemuan mayatnya pada 25 April lalu.

Ketika pemeriksaan dilakukan, mangsa masih berpakaian kerja selain terdapat sejumlah wang bersamanya di dalam bagasi berkenaan.

Difahamkan, pada 24 April, mangsa hadir ke pejabat seperti biasa malah diberi tugas memasukkan wang syarikat ke dalam bank yang terletak tidak jauh dari tempat kerjanya.

Bagaimanapun selepas menyelesaikan tugasan, mangsa tidak kembali ke pejabat sehingga akhirnya mayatnya ditemui di dalam bagasi, keesokan harinya.

Polis berkata daripada keterangan sepupunya, mangsa yang merupakan ibu kepada seorang anak kini sedang dalam proses penceraian dan tinggal berasingan dengan suaminya.

"Kami curiga, kerana arwah dalam proses untuk bercerai dan arwah tidak mahu rujuk," ujar sepupu mangsa.

Susulan penemuan mayat wanita tersebut, polis menahan seorang lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan mangsa.

Polis bagaimanapun belum mendedahkan identiti suspek yang ditahan di Palembang, Sumatera Selatan. -Serambinews

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain