suria

Rumah terbiar 22 tahun, baru kini nak letak CCTV! Badan tukang pasang calar balar, pemilik dedah kenapa tiada penghuni

Pemasangan CCTV di sekitar kediaman dapat membantu mengatasi jenayah pecah rumah. -Gambar hiasan

PERKHIDMATAN memasang kamera litar tertutup (CCTV) telah dilakukan lelaki ini sejak sekian lama.

Sepanjang tempoh itu, tugasan Rushdi sentiasa lancar dan mendapat pujian pelanggan sehingga akhirnya menjadi bualan masyarakat sekeliling di sekitar Rembau, Negeri Sembilan.

Populariti yang diterimanya itu menyebabkan dia diupah untuk memasang CCTV di sebuah rumah di Tampin.

Meskipun agak jauh dari lokasi kebiasaannya, namun Rushdi menerima tawaran tersebut dan mula melakukan lawatan tapak.

"Tuan rumah suruh aku datang untuk site visit setelah rundingan sebut harga dipersetujui.

"Semasa masuk ke rumah dengan kaki kanan dan diiringi salam, tiba-tiba bulu roma aku terangkat dengan tiba-tiba.

Gambar dan potret lukisan sering dijadikan hiasan pada dinding rumah. -Gambar hiasan

Gambar dan potret lukisan sering dijadikan hiasan pada dinding rumah. -Gambar hiasan

"Aku terus mencari DB board (kotak agihan litar elektrik) sebab rumah owner tu besar, sunyi dan tersangat kotor," ujarnya menceritakan situasi ketika pertama kali berada di rumah berkenaan.

Menurut Rushdi, rumah tersebut juga dipenuhi dengan anak patung serta gambar-gambar kenangan pemilik bersama ahli keluarga.

Melihatkan keadaan tersebut, dia mengakui perasaan seram sejuk mula menyelubungi diri.

"Selepas melihat 'area point' untuk pemasangan CCTV, aku terus keluar dan bersembang dengan tuan rumah di halaman luar," ujarnya yang turut terkejut apabila pemilik menyatakan rumah tersebut sudah tidak didiami selama 22 tahun.

Pelik dengan situasi berkenaan, dia terus bertanyakan tujuan pemasangan CCTV.

Baginya, tindakan tersebut hanya akan merugikan kerana rumah tersebut dibiarkan kosong tanpa penghuni.

ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan intern terkena badi mayat selepas buat liputan kes maut jatuh bangunan

Namun tanpa diduga, ujarnya, pemilik tetap berkeras untuk meneruskan pemasangan peranti disebabkan rumah tersebut telah dipecah masuk sebanyak tiga kali.

"Anehnya, owner maklumkan hanya tong gas sahaja yang hilang. Aku pun hairan juga kerana dalam rumah tu terdapat televisyen, sofa, almari jam... bodoh juga pencuri.

"Keesokan harinya, aku pun datang nak buat kerja-kerja pemasangan. Masa ni aku tengok isteri pemilik turut hadir bersama.

"Aku minta izin untuk naik ke atas deck dan dia hanya pesan supaya berhati-hati. Tiba-tiba perasaan aku diselubungi rasa seram sejuk sekali lagi," luahnya.

Enggan membiarkan perasaan takut menguasai diri, dia meneruskan kerja sehinggalah selesai.

Kelibat entiti turut dirakam menerusi CCTV. -Gambar hiasan (Facebook)

Kelibat entiti turut dirakam menerusi CCTV. -Gambar hiasan (Facebook)

"Setelah siap, aku duduk bersembang dengan pemilik dan isterinya. Tiba-tiba pemilik bertanyakan sama ada CCTV yang dipasang itu boleh mengesan benda bergerak atau tidak.

"Aku terus menjawab 'ya' sambil menyatakan kucing yang lalu juga boleh dirakam.

"Dalam ketawa pemilik bertanyakan sama ada makhluk halus boleh dilihat atau tidak... aku terus katakan tidak pasti," tambahnya.

Belum habis rasa aneh dengan soalan yang diberikan, Rushdi sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan isteri pemilik berkenaan.

"Isteri owner cakap yang anak dia pernah dirasuk dalam rumah tersebut sebanyak dua kali sehinggakan mereka enggan tinggal di situ.

"Sembang punya sembang, aku pun kemas barang untuk terus balik. Sampai saja di rumah, aku terus mandi di luar rumah kerana tak mahu berjumpa anak dalam keadaan 'kotor'.

"Keesokan harinya aku demam dan badan aku macam ada calar-calar kat belakang tepi, aku sembahyang dan berdoa supaya diberikan kesembuhan," ujarnya yang kembali pulih dan memulakan kerja seperti biasa selepas beberapa hari.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain