Dr Lim Swee TinSERDANG: Beliau bukan Melayu. Beliau juga bukan berketurunan Melayu tetapi Prof Madya Dr Lim Swee Tin adalah nama besar dalam bidang kesusasteraan Melayu khususnya bidang kepenyairan.Beliau telah menghasilkan banyak novel, cerpen, puisi dan tulisan-tulisan berbentuk kesusasteraan.Beliau juga adalah penerima S.E.A Write Award 2000, penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan Diraja Thailand.Bagi anak kelahiran Bachok, Kelantan ini, dilahir dan dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu mungkin menjadikannya lebih Melayu daripada keturunannya sendiri, iaitu Cina peranakan Kelantan.Secara umumnya, Cina Peranakan Kelantan mengamalkan budaya yang rapat dengan masyarakat Melayu dan masyarakat tempatan di Kelantan.Bahasa percakapan mereka adalah campuran Melayu, Siam dan Cina."Orang Cina di pantai Barat tak faham, tergamam mereka kalau mendengar percakapan kami," kata Dr Lim sambil tersenyum ketika diwawancara Bernama baru-baru ini.Beliau kini menyandang jawatan pensyarah Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, jawatan yang disandangnya sejak 1 Disember 2000. DUNIA MELAYU Bukan sahaja dilahir dan dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu. Bahkan Dr Lim turut bersekolah Melayu, boleh dikatakan dunianya 100 peratus Melayu!Sambil menyifatkan pengalaman hidupnya berbeza daripada kebanyakan orang lain, sebelum berusia enam tahun dan sebelum masuk darjah satu, beliau sudah boleh menulis dan membaca dalam Bahasa Melayu."Masa itu tidak ada tadika. Saya juga belajar sendiri sebelum masuk ke sekolah. Saya rapat dengan sebuah keluarga Melayu dan anak-anak dia, menjadikan kakak-kakak angkat saya mengajar saya membaca dan menulis.'"Secara kebetulan bapa saya ada duit sedikit dan membelikan buku untuk saya baca. Buku yang kecil-kecil dan nipis, harganya sekitar 5 sen atau 10 sen sebuah. Masa itu, sebulan sekali ada peniaga yang datang ke kampung menjual buku-buku ini."Saya juga baca buku, kalau tidak silap kisah daripada Sejarah Melayu yang diringkaskan dan dipermudahkan. Saya suka kepada bentuk bahasa dan karya sastera," Dr Lim mengingati semula zaman kanak-kanaknya. BACA DAN INTERAKSI Minat membaca yang disemai dan dipupuk dari usia muda ternyata menumbuhsubur minatnya dalam kesusasteraan Melayu dan penyumbang utama kepada kejayaannya hari ini.Justeru tidak hairanlah beliau sentiasa mengesyorkan supaya masyarakat Malaysia hari ini tanpa mengira bangsa dan keturunan agar merapatkan anak-anak mereka dengan pembacaan Bahasa Melayu."Ini akan menjadi asas yang kuat berdasarkan pengalaman saya sendiri," katanya.Dr Lim turut berpandangan dalam konteks masyarakat Malaysia, interaksi kaum amat perlu dalam mewujudkan sebuah bangsa Malaysia.Ia adalah antara ramuan utama untuk membina sebuah bangsa Malaysia yang kukuh dan padu."Kita mesti perluaskan interaksi kita. Jangan dihalang interaksi antara kaum, jangan dibatasi walau dalam apa jua bidang."Interaksi inilah yang akan semakin mendekatkan kita kepada penguasaan bahasa di samping mewujudkan persefahaman dan sikap tolak ansur serta perpaduan yang kukuh."Jangan ambil mudah hal ini. Lambat laun anak-anak akan membesar dalam sifat yang tidak janggal," tegasnya.Dalam konteks yang sama, Dr Lim turut berpandangan perlu dikikis prasangka dan kekeliruan yang wujud dan berlaku dalam hal-hal yang disifatkannya sebagai remeh-temeh yang tidak menyokong pembinaan satu negara bangsa dalam erti kata yang sebenarnya."Kadang-kadang kita bercakap hendak membina sebuah masyarakat yang padu, yang kukuh tetapi dari segi pelaksanaan kita berbuat sesuatu yang menunjukkan kita ada prasangka," tambahnya. JUGA BOLEH Dr Lim dan Bahasa Melayu boleh diibaratkan sebagai lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan.Runtunan hatinya mengenai nasib Bahasa Melayu yang sering beliau sebut sebagai ‘Bahasa kita’ sepanjang wawancara ini menunjukkan betapa mendalamnya beliau menjiwai isu ini.Perjuangan yang telah berakar umbi sejak empat dekad yang lalu masih diteruskan ke hari ini seperti katanya," selagi saya terdaya saya akan teruskan."Bermula daripada membaca buku-buku cerita Melayu semasa kecil, minatnya untuk mendalami kesusasteraan Melayu terus bercambah sewaktu beliau belajar di maktab perguruan dan terbabit secara aktif dalam Persatuan Bahasa dan Budaya.Beliau turut mengkagumi tamadun Melayu yang disifatkannya terbina degan begitu halus dan indah.Dr Lim turut menjadikan pembabitannya dalam bidang Bahasa Melayu ketika di maktab perguruan sebagai asas untuk melakukan sesuatu yang lebih besar dalam dirinya.Beliau mahu membuktikan bahawa orang Cina juga mengambil tahu tentang Bahasa Melayu dan boleh menguasai serta menjadikan Bahasa Melayu itu menjadi ‘bahasa kita’.Berpidato dalam Bahasa Melayu dan menulis dalam Bahasa Melayu menjadikan namanya mula dikenali dan disegani."Saya kata saya nak menulis dalam Bahasa Melayu supaya orang Melayu tahu Lim boleh menulis dalam Bahasa Melayu. Dia sayang Bahasa Melayu, cinta Bahasa Melayu."Masyarakat bukan Melayu pula berkata ada seorang bukan Melayu yang bagus Bahasa Melayu. Mengapa anak saya tidak bagus seperti dia. Itu yang saya ingin, menjadi contoh, " katanya. JANGAN REMEHKAN Pucuk dicita ulam mendatang. Kejayaan yang diraih Dr Lim turut menjadikannya sebagai contoh teladan.Sering beliau ketemu ibu bapa yang bukan sahaja memujinya tetapi memberitahu mereka menjadikan kejayaan beliau menguasai Bahasa Melayu sebagai contoh untuk diteladani anak-anak mereka.Pun dalam masa yang sama beliau memberitahu sudah ramai orang bukan Melayu, iaitu Cina dan India yang sekarang bercakap berkias-kias."Ini sesuatu yang membanggakan tetapi janganlah sampai kita hendakkan kesempurnaan sehingga kita berkata tidak semua yang pandai berkias," kata Dr Lim.Beliau turut meminta supaya tidak memandang serong kepada orang bukan Melayu yang tidak fasih atau tidak boleh berbahasa Melayu langsung.Sambil menyifatkan kelompok seperti itu semakin mengecil kerana ramai yang sudah meninggal dunia, beliau memberitahu memang ada sesetengah ahli masyarakat Cina yang tidak pernah mendapat pendidikan Melayu."Mereka itu hanya pandai berbahasa Melayu pasar melalui pergaulan dengan orang Melayu atau langsung tidak boleh bertutur Bahasa Melayu sebab mereka hanya berinteraksi dengan orang Cina."Kehidupan sehari-hari kelompok ini dalam lingkungan keluarga Cina, membeli-belah di kedai Cina, jadi langsung tidak boleh bercakap Melayu."Jadi apabila kita bercakap hari ini ada orang Cina yang tidak boleh bercakap Bahasa Melayu, itulah golongannya. Tidak boleh menyalahkan mereka. Keadaan yang menjadikan mereka begitu, " jelasnya. REALITI SEMASA Senario berbeza dengan generasi muda Cina yang belajar Bahasa Melayu secara yang sistematik dan teratur di sekolah kebangsaan di mana kata Dr Lim penguasaan Bahasa Melayu mereka boleh dibanggakan.Bagi mereka yang terus masuk ke sekolah Cina, katanya, kelompok ini ada kelas Bahasa Melayu tetapi mempunyai masalah dengan Bahasa Melayu kerana interaksi yang terhad dengan orang Melayu."Jadi kita harapkan kelompok yang menguasai Bahasa Melayu ini akan membesar dan golongan inilah yang kita harap dapat menyumbang kepada perkembangan dan kesuburan dari segi penggunaan Bahasa Melayu yang baik."Inilah realiti yang berlaku dalam masyarakat. Saya melihat ada perlunya ahli atau tokoh bahasa bila bercakap tentang masyarakat Cina yang tidak boleh menguasai Bahasa Melayu, jangan pukul rata, jangan meremehkan. Sebenarnya masyarakat Cina dari kelompok yang mana? Saya akui masih ada kelompok orang Cina yang tidak boleh berbahasa Melayu."Begitu juga dengan kelompok Melayu yang mendapat pendidikan Inggeris dari awal. Barangkali mereka juga turut teraba-raba nak bercakap Bahasa Melayu yang betul, bahasa percakapan harian itu betullah, ini kita nak cakap Bahasa Melayu yang betul, yang santun, " tambahnya.Secara keseluruhannya beliau melihat ada banyak kemajuan dalam sistem pendidikan negara dari segi penguasaan Bahasa Melayu.Pihak yang menolak kenyataan ini, katanya, secara tidak langsung meremehkan Kementerian Pelajaran serta usaha yang dibuat oleh ahli bahasa selama ini."Secara sindiran kita akan menyatakan sistem pendidikan kita gagal," tegasnya. TONGGAK PERPADUAN Bagi Dr Lim Bahasa Melayu juga selayaknya menjadi tunggak kepada perpaduan bangsa Malaysia, tidak ada bahasa yang lain.Baginya, kesan insiden tahun 1969 jelas menunjukkan keperluan satu saluran yang sama, yakni Bahasa Melayu untuk menyatakan hasrat hati dan menyampaikan aspirasi hidup selepas insiden itu."Bahasa Melayu perlu menjadi tunggak kita yang satu-satunya. Setiap orang mesti memahami, mesti menguasai Bahasa Melayu."Apabila berlaku percanggahan pendapat orang Melayu dengan orang Cina umpamanya maka mereka boleh berdebat, boleh berbahas melalui saluran Bahasa Melayu supaya tidak timbul salah faham atau kekeliruan."Saya fikir sebuah negara yang makmur seperti Malaysia tidak boleh menerima kerosakan, kehancuran, huru-hara atau pertumpahan darah."Cukup sekali. Masyarakat kita unik, bukan jenis masyarakat yang suka kepada huru-hara, demonstrasi, protes, kekerasan termasuklah berbunuh-bunuhan. Ini bukan rupa bentuk bangsa kita, " tegasnya. BAHASA ILMU Bahasa Melayu bagi Dr Lim bukan sahaja tonggak perpaduan negara tetapi juga selayaknya menjadi bahasa ilmu.Sejak zaman berzaman, Bahasa Melayu, katanya telah membuktikan bahawa ia mampu bukan sahaja sebagai bahasa perhubungan (lingua franca) tetapi juga bahasa ilmu merentas zaman."Kita imbaslah keupayaan bahasa kita, bahasa yang kuat menyalurkan ilmu tentang keagamaan, budaya dan falsafah yang tinggi-tinggi."Ini menunjukkan kemampuan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa ilmu sudah terbukti sejak sekian lama sejak zaman berzaman, abad ke abad. "Kita bukan cakap-cakap kosong. Ini sudah terbukti melalui sekian banyak penerbitan. Semuanya menunjukkan Bahasa Melayu itu mampu mengangkat ilmu, menyampaikan ilmu dan mengembangkan ilmu. Itu kekuatan Bahasa Melayu, " kata Dr Lim lagi.Mengenai suara-suara sumbang yang mengatakan Bahasa Melayu banyak mengambil bahasa asing, beliau tegas memberitahu bahawa istilah berkembang seiring dengan kemajuan sains dan teknologi."Mahu tidak mahu kita mesti menggunakan istilah itu."Jangan kata Bahasa Melayu sahaja menggunakan bahasa ambil ini, yang berkembang seiring dengan perkembangan zaman sains dan teknologi," jelasnya. SEDIKIT KHUATIRDalam masa yang sama, Dr Lim turut melahirkan rasa khuatirnya dengan perkembangan mutakhir bahawa Bahasa Melayu seolah-olah tidak lagi menjadi bahasa ilmu.Berdasarkan pemantauan sendiri, beliau memberitahu bahawa hal-hal keilmuan sekarang kurang ditulis dalam Bahasa Melayu dan tidak berlipat ganda seperti mana yang diharap-harapkan."Mengapakah hal ini berlaku? Apakah negara kekurangan ilmuwan? Adakah ilmuwan tempatan sendiri tidak meyakini Bahasa Melayu atau pun kita berada dalam satu era di mana ilmuwan kita ini kebanyakannya mendapat pendidikan Inggeris?"Adakah mereka tidak percaya bahawa Bahasa Melayu mampu mendukung ilmu yang mereka hendak sampaikan itu atau secara kebetulan ilmuwan kita ada yang mendapat pendidikan Barat jadi mereka lebih selesa menyampaikan ilmu dalam Bahasa Inggeris."Memang ilmu boleh disampaikan melalui apa-apa bahasa pun akan tetapi pada ketika kita hendak memperkasa Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kita, tiba-tiba semua bidang keilmuan kita dalam bahasa asing, dalam Bahasa Inggeris sebagai contoh, " soal beliau. PERLU BINCANG Dr Lim mengesyorkan perbincangan yang teratur dan sistematik dibuat supaya dapat dicari jalan tengah untuk menunjukkan Bahasa Melayu masih kekal relevan untuk mengungkap bukan sahaja semua bentuk ilmu tetapi ilmu yang tinggi.Sewajarnya gejala yang menimpa bahasa kebangsaan pada hari ini, katanya tidak dibiarkan berterusan kerana ia akan hanya mengundang pelbagai tanggapan negatif."Akhirnya Bahasa Melayu akan dianggap hanya sesuai untuk komunikasi yang mudah-mudah sahaja tetapi tidak mampu, tidak berdaya untuk menjadi bahasa ilmu, " keluhnya sambil mengungkap beberapa bait daripada puisinya yang bertajuk "Citra Bahasa"."Jangan perkecilkan bahasa Melayu, Kelak ia semakin kerdil, Kerdil bahasa kerdilah jiwa, Tak berjiwa manakah lagi kebersamaan kita. "Lama telah bahasa kita berdaulat, Bukalah laman sejarah, lihatlah jerih, Lihat payah yang terpahat, Kita juga telah memberinya tempat, Setelah dinobat diangkat martabat, Janganlah lagi direntap disentap." - BERNAMA