suria

Dua Sudut Nusantara: Catatan Dari Kota Dili

Pengenalan

PULAU Timor terletak di sudut timur gugusan Kepulauan Melayu atau Nusantara yang sekarang ini terbahagi kepada dua negara - Indonesia dan Timor-Leste. Timor-Leste, atau dikenali sebagai Timor Lorosa’e dalam Bahasa Tetum merupakan sebuah negara yang baru wujud iaitu pada tahun 2002 - sekaligus menempatkannya sebagai  negara berdaulat pertama yang wujud di abad ke-21.

Leste adalah perkataan Portugis yang bermaksud ‘Timur’. Sebelum berperintah sendiri, ia dikenali dengan nama Timor-Timur. Perlu dinyatakan, sebelum Indonesia mengambil alih pentadbiran di pulau ini, ia adalah sebuah tanah jajahan Portugis.

Dengan populasi lebih kurang hanya satu juta penduduk, Timor-Leste meliputi sebahagian timur Pulau Timor dengan enklaf kecil yang dikenali sebagai Oecussi di utara bahagian Timor Barat (Indonesia) dan dua buah pulau yang berdekatan iaitu Pulau Atauro dan Pulau Jaco. Dili, kota terbesar di Timor-Leste  ialah ibu negeri negara yang baru merdeka ini.

Timor-Leste sebenarnya adalah sebuah negara indah yang menawan; air lautnya yang biru kehijauan berlatarbelakangkan gunung-ganangnya yang memuncak menambahkan lagi pesona negara di timur Nusantara ini.

Tidak seperti mana Bangkok, Manila, Singapura ataupun Bali, Dili bukanlah destinasi pelancongan popular Asia Tenggara apatah lagi bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Tiada perkhidmatan pesawat penerbangan langsung dari Kuala Lumpur ke Timor-Leste. Perjalanan ke Dili memerlukan seseorang memulakan pengembaraannya dari Malaysia dengan menaiki pesawat transit dari Singapura ataupun menerusi jalur udara Jakarta-Denpasar.

Walaupun memiliki keindahan yang boleh menambat hati sesiapa yang menatapnya, Timor-Leste adalah sebuah negara yang tidak didendangkan kerana sejarah hitamnya memperjuangkan kemerdekaan yang telah menyaksikan pertumpahan darah yang berleluasa.

Sejarah

Berbanding kawasan-kawasan lain di Kepulauan Melayu, tiada kerajaan berdaulat yang jelas pernah wujud di Timor-Leste melainkan ia pernah berada di bawah pengaruh empayar Majapahit sekitar kurun ke-13 dan ke-14. Apabila Kerajaan Majapahit runtuh, Timor-Leste dikuasai ketua-ketua suku masyarakat di situ sehingga kedatangan Portugis di Oecussi pada tahun 1515 - empat tahun setelah robohnya Kesultanan Melayu Melaka di Tanah Melayu.

Ketika gugusan Kepulauan Melayu yang lain jatuh ke tangan Belanda, Timor-Leste tetap dikuasai Portugis. Seperti wilayah jajahan Portugal yang lainnya di serata dunia, pihak Portugis tidak mengendahkan kebajikan rakyat tempatan tetapi sebaliknya memeras dan mengeksploitasikan hasil alam Timor-Leste tanpa meninggalkan apa-apa infrastruktur di koloninya itu.

Portugis berkuasa di Timor-Leste sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua yang menyaksikan perpindahan kedaulatan wilayah ini ke tangan Jepun, sebelum diintegrasikan ke dalam Indonesia pada tahun 1976 sebagai provinsi yang ke-27.

Asalnya, pencerobohan Indonesia ke atas Timor-Leste mendapat restu Australia dan Amerika Syarikat yang tidak mahu pengaruh komunis menular ke rantau Asia Tenggara.

Sejak itu (di bawah Indonesia) ia dikenali sebagai wilayah Timor-Timur (bermula tahun 1976). Tidak seperti Portugis, pemerintah Indonesia telah membawa pembangunan kepada provinsi barunya ini.

Pihak berkuasa Indonesia mengharamkan penggunaan bahasa Portugis kerana ia dianggap warisan penjajahan.

Sebaliknya, penggunaan bahasa Indonesia telah diterapkan bagi mempercepatkan asimilasi penduduk Timor sebagai rakyat Indonesia. Sehingga kini, walaupun Timor-Leste telah mencapai kemerdekaan selama 15 tahun, rakyat Timor-Leste masih lagi menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa pertuturan dan bahasa perdagangan seharian yang sangat penting.

Timor-Leste tidak kekal lama bersama Indonesia. Kemasukan Indonesia ke wilayah sentiasa dilihat sebagai melanggar lunas undang-undang antarabangsa dan warga Timor-Leste sendiri tidak mahu berada di bawah Indonesia kerana ia bukan sebuah jajahan Belanda.

Undang-undang antarabangsa menerusi konsep 'utti possideti juris' menggariskan bahawa negara yang baru merdeka hendaklah mewarisi wilayah yang dahulunya dikuasai oleh bekas penjajahnya. Keinginan pemerintah dah rakyat Timor-Leste untuk berkerajaan sendiri telah mengakibatkan meletusnya perang gerila di wilayah ini sehingga menyaksikan ramai rakyat Timor terbunuh.

Kredibiliti Indonesia sebagai negara besar yang dihormati di Asia Tenggara tercalar apabila pembunuhan beramai-ramai Santa Cruz berlaku pada tahun 1991 dilaporkan secara berleluasa oleh media antarabangsa ke seluruh dunia.

Setelah jatuhnya Presiden Suharto pada tahun 1998, kedudukan politik Indonesia menjadi tidak stabil dan kesempatan ini diambil oleh pihak pro-kemerdekaan di Timor-Leste untuk menekan Indonesia bagi mendapatkan kemerdekaan. Menerusi petisyen yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1999, 78.5 peratus rakyatnya mahukan kemerdekaan dari Indonesia.

Akhirnya pada tahun 2002, lahirlah sebuah negara baru di Asia Tenggara dengan nama rasminya dalam bahasa Portugis – Republica Democratica de Timor-Leste (Republik Demokratik Timor-Leste).

Jemputan Dari Timor-Leste

Pengalaman penulis di Universidade Nacional Timor-Lorosa’e (UNTL), atau dalam Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Timor-Lorosa’e adalah lanjutan dari jemputan kali pertama penulis selaku ahli akademik undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai profesor pelawat ke Far Eastern Federal University (FEFU), Vladivostok, Russia, Disember tahun lepas. Jemputan ini juga adalah jemputan pertama seumpamanya bagi seorang warga Malaysia ke Jabatan Pengajian Sains Sosial, UNTL.

Jemputan ini bermula daripada pertemuan penulis dengan salah seorang ahli akademik UNTL, Antonio Freitas sewaktu penulis menghadiri sesi sekolah musim panas di Shanghai Jiao Tong University pada tahun 2013. Pihak UNTL menjemput penulis sebagai Profesor Pelawat untuk mengajar dan menyampaikan syarahan akademik di sana selama enam hari bermula 1 Mei hingga 6 Mei baru-baru ini.

Pihak UNTL menanggung sebahagian daripada kos pemergian penulis sepanjang enam hari berada di sana. Kos penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dili boleh mencecah sehingga RM2,000 bagi tiket pergi-balik.

Perjalanan ke Dili

Perjalanan penulis ke Dili, Timor-Leste bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam 1 Mei 2015. Malaysia Airlines (MAS) atau AirAsia tidak menawarkan penerbangan terus ke Dili. Oleh itu, penerbangan ke Dili dari Kuala Lumpur boleh dibuat menerusi MAS atau AirAsia untuk perjalanan selama 1 jam 30 minit dari KLIA ke Jakarta, Indonesia. Dari Jakarta, pesawat Sriwijaya Air atau Garuda Indonesia ada menawarkan penerbangan ke Denpasar, Bali dan seterusnya ke Dili, Timor-Leste.  Sriwijaya Air adalah syarikat penerbangan tambang murah yang tersohor di Indonesia, sebaris dengan Lion Air dan Air Asia Indonesia.

Hentian penulis di Jakarta dan Denpasar tidak mengambil masa yang begitu lama dan perjalanan kemudiannya diteruskan ke Dili. Bermacam-macam imej muncul di minda pada ketika itu apabila membayangkan keadaan Timor-Leste. Tidak seperti sewaktu penulis ke Vladivostok, Rusia di mana penulis dapat bayangkan sebuah kota salju yang bersih, tersusun indah dan rapi. Kali ini, penulis membayangkan sebuah negara yang bergolak, mundur, kemiskinan serta jenayah yang berleluasa dengan kedudukan politik yang tidak stabil – akhirnya penulis sendiri mendapat kejutan yang menyenangkan.

Dari jendela pesawat ketika penerbangan mula hendak mendarat, penulis dapat melihat seluruh kawasan di Dili, air lautnya yang membiru dibatasi gunung yang menghijau dan garis pantai yang memutih – ia merupakan satu pemandangan yang sangat indah dan luar biasa - menyejukkan hati sesiapa saja yang menatapnya.

Apabila penulis tiba di Dili, apa yang penulis jangkakan ada sedikit kebenarannya. Lapangan Terbang Antarabangsa Presidente Nicolau Lobato Dili (PNL) memang sangat usang, tua dan kecil berbanding dengan lapangan terbang lain yang pernah penulis kunjungi.

Keadaan lapangan terbangnya tidak dilengkapi dengan sistem penghawa dingin berpusat di tambah pula dengan situasi hingar-bingar aktiviti manusia di luar pintu ketibaan menambahkan kekusutan dan ketidakselesaan pengembara yang baru memijakkan kaki di Dili. Apabila penulis melihat sekeliling, raut wajah orang Timor berbeza sedikit dari rumpun Melayu amnya dan lebih lebih mirip kepada rumpun Melanesia. Hati penulis meronta-ronta ingin tahu apakah pengalaman pengembaraan yang Timor-Leste dapat tawarkan kepada penulis.

Pengalaman Di Dili

Ketibaan penulis di lapangan terbang disambut Antonio Freitas dan beliau telah memberi tugasan kepada Jofran Sequira, pelajarnya untuk menjadi pegawai pengiring penulis sepanjang keberadaan di Dili. Sebelum ke hotel penginapan iaitu Hotel Lecidere di terletak di tengah-tengah kota Dili, Jofran membawa penulis terus ke Praia De Christo Rei (Pantai Raja Kristus), iaitu kawasan pantai yang terletak kira-kira 5km sahaja dari pusat kota Dili.

Pantai ini amat terkenal di Timor-Leste bukan sahaja kerana keindahannya, tetapi juga di sinilah terletaknya Tugu Christo Rei, tugu Kristus kedua terbesar di dunia seumpamanya setelah Rio De Jeneiro.

Tugu setinggi 27 meter ini menghadap ke laut yang boleh dilihat dari jarak berkilometer jauhnya adalah mercu tanda utama Kota Dili yang terletak di puncak bukit di hujung Semenanjung Fatucama. Tugu ini adalah hasil cetusan idea Presiden Suharto yang berhasrat untuk menjadikannya pemberian simbolik kepada rakyat Timor-Timur bagi menyambut 25 tahun integrasi wilayah ini ke dalam Indonesia.

Ia telah direka oleh seorang rakyat Indonesia beragama Islam bernama Mochamad Syailillah, yang lebih popular dengan panggilan Bolil. Pendakian ke Tugu Christo Rei mengambil masa 20 minit berjalan kaki dan ia bukanlah suatu pendakian yang sia-sia kerana pemandangan di puncak Christo Rei tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Pada ketika itu jugalah penulis sedar bahawa dunia tidak memberikan gambaran sebenar yang adil mengenai negara indah di hujung Nusantara ini. Hari pertama penulis berakhir dengan senyuman kepuasan apabila berpeluang melihat keindahan alam ciptaan Tuhan di Timor-Leste ini.

Dili dan Sekitarnya

Pada hari kedua, penulis dibawa oleh Sequira untuk meronda-ronda di sekitar bandar Dili. Dili telah mengalami proses pemulihan yang mengkagumkan sejak tahun 2002 apabila ia dibumihanguskan oleh tentera Indonesia. Dari sebuah bandar diambang kehancuran, Dili kini mempunyai sebuah pusat membeli-belah sebagai tanda peningkatan taraf hidup rakyat Timor-Leste. Penulis dibawa menziarahi pemakaman Santa Cruz, tempat berlakunya pembantaian terbesar Tentera Nasional Indonesia terhadap rakyat Timor. Setelah itu, penulis juga dibawah ke bangunan Kedutaan Malaysia di Jalan Kelapa dan ke Kampung Alor, kampung orang Islam terbesar di Dili.

Di sekeliling Dili, penulis dapati Bahasa Indonesia masih digunapakai dengan meluas walaupun Timor-Leste telah lebih sedekad merdeka. Dari sudut ini, wujud perasaan kagum penulis kepada dua orang Presiden Indonesia terawal, iaitu Presiden Sukarno dan Presiden Suharto yang bagi penulis adalah pejuang rumpun Melayu yang hebat. Mereka telah berjaya memartabatkan penggunaan bahasa Melayu/Indonesia sehingga ia terpakai meluas ke seluruh Nusantara. Pada masa yang sama, penulis turut berasa dukacita kerana walaupun Malaysia sudah 57 tahun merdeka, masih terdapat rakyat Malaysia sendiri yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik dan sempurna. Memang benar kata pepatah, ‘bahasa jiwa bangsa’.

Pada sebelah petang, Sequira bersama teman-temannya membawa penulis berkunjung ke Maubara, terletak kira-kira 60km dari bandar Dili. Berbeza dengan keadaan infrastruktur pengangkutan di Malaysia, Timor-Leste tidak mempunyai jaringan lebuh raya yang menjalar ke seluruh daerah negara tersebut.

Perjalanan yang mempunyai jarak pemanduan yang seakan-akan sama dari Kuala Lumpur ke Seremban yang biasanya mengambil masa sejam terasa begitu lama kerana keadaan jalannya yang agak buruk. Hentian pertama adalah di desa Tibar, sebuah desa lama yang mempunyai banyak rumah bercirikan senibina Timor asli. Penulis berkesempatan beramah mesra dengan orang kampung yang menjual buah-buahan tempatan di tepi jalan.

Pada mulanya mereka tidak begitu mesra kerana menyangkakan bahawa penulis orang Indonesia. Apabila penulis memberitahu mereka yang penulis berasal dari Kuala Lumpur, layanan dingin berubah secara drastik dan mereka mula memuji-muji jasa tentera pengaman Malaysia sewaktu berlakunya pergolakan di Timor-Leste.

Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Liquiçá yang terkenal dengan keindahan pantainya yang memutih. Sequira membawa penulis menziarah sebuah gereja lama yang menjadi tempat berlakunya penyeksaan orang Timor oleh tentera Indonesia. Akan tetapi orang Timor sangat pemaaf. Rata-rata orang Timor yang penulis temui tidak pernah menyimpan perasaan dendam terhadap orang Indonesia tetapi cuma tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh pihak tentera terhadap mereka. Orang Timor masih lagi menganggap diri mereka sebahagian daripada warga Nusantara.

Dari Liquiçá, perjalanan diteruskan ke Maubara, sebuah pekan kecil yang masih terletak di dalam daerah Liquiçá. Kami sempat berhenti di sebuah pantai yang indah yang berlatarbelakangkan Pulau Atauro di sudut timur dan Pulau Alor, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia di bahagian barat. Pemandangannya yang indah dapat memukau sesiapa sahaja yang menatapnya. Walaupun penulis bukan rakyat Indonesia, penulis masih dapat merasakan sedikit kekesalan kerana sekiranya pihak TNI tidak memperlakukan rakyat Timor dengan kejam, kemungkinan besar bumi yang dipijak di Pulau Timor ini mungkin masih lagi milik Indonesia.

Bayangkan, setelah 15 tahun merdeka, orang Timor masih lagi selesa bertutur dalam bahasa Indonesia, mendengar dan menonton filem-filem Indonesia, malah anak-anak kecil Timor juga terhibur melihat keletah Upin Ipin, siri kartun Malaysia yang terkenal seantero Indonesia, di siaran televisyen nasionalnya. Ciri-ciri Indonesianya yang kental membuatkan sesiapa sahaja terasa yang mereka bukan berada di sebuah negara asing yang bukan sebahagian daripada Indonesia.

Perjalanan ke Maubara kami tamatkan dengan menziarah sebuah kota lama yang didirikan oleh pihak penjajah Portugis bagi melindungi koloni mereka dari serangan Belanda. Sama seperti A’ Famosa di Melaka, penulis kagum dengan binaannya yang kukuh tidak dimamah zaman. Oleh kerana hari sudah semakin gelap, pengembaraan merentasi tiga kota ini, Tibar-Liquiçá-Maubara terpaksa ditamatkan dan kami bergerak semula menuju kota Dili petang itu.

Pensyarah Pelawat

Tugas penulis di UNTL bermula pada hari Isnin, 4 Mei 2015. Penulis diminta oleh rakan sejawatan, Antonio Freitas untuk mengajar dalam beberapa siri kuliah program ijazah sarjana muda undang-undang di sana. Kemudahan infrastruktur UNTL adalah serba sederhana membuatkan penulis berasa kagum dengan para pelajarnya yang gigih menuntut ilmu untuk membina Timor-Leste yang lebih teguh dan maju ke hadapan. Sebahagian pelajarnya adalah pelajar matang yang tidak berkesempatan menuntut ilmu ketika meletusnya peperangan di era 90an.

Sebagai seorang pensyarah pelawat, penulis dikehendaki untuk mengajar subjek undang-undang laut antarabangsa dalam sebuah dewan yang mempunyai lebih daripada 60 orang pelajar yang rata-ratanya anak-anak Timor. Hanya sebilangan dari mereka yang fasih berbahasa Inggeris.

Ini sedikit sebanyak mencacatkan komunikasi di antara penulis dan mereka. Namun masalah ini diatasi apabila penulis bertutur menggunakan Bahasa Inggeris yang mudah difahami bercampur Bahasa Indonesia.

Anak-anak Timor mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Selain daripada kuliah yang penulis sampaikan itu, mereka juga banyak bertanya dalam sesi soal jawab.

Daripada soal sistem perundangan ke sistem ekonomi Malaysia, penulis dihujani dengan pelbagai jenis soalan. Penulis juga berasa takjub dengan pengetahuan mereka mengenai Kuala Lumpur dan Malaysia. Ternyata usaha bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad membangunkan negara serta membina Menara Berkembar Petronas sebagai mercu tanda negara adalah berbaloi kerana mereka mengenali Kuala Lumpur menerusi menara kembar tersebut.

Dalam tempoh 57 tahun merdeka, Malaysia bukanlah lagi sebuah negara yang tidak dikenali atau cuma dikenali sebagai sebuah negara pertanian, malah dikagumi kerana kemajuan pesatnya. Rakyat Timor pula rata-rata melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dicontohi.

Sejurus selepas mengajar di kelas tersebut, penulis telah dijemput untuk menyampaikan kuliah akademik bertajuk ‘The Law of the Sea Convention (LOSC) and 'Its Implication on Southeast Asia: With Special Reference to Timor Leste’ selama sejam.

Kuliah ini dihadiri bukan sahaja oleh para pelajar FEFU, malah turut disertai oleh staf akademik Jabatan Pengajian Sains Sosial, UNTL. Kuliah ini berkongsi mengenai kesan penerimaan Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982 terhadap negara-negara Asia Tenggara dari segi pembahagian sempadan maritim di Nusantara, hak penggalian petroleum serta hak navigasi kapal-kapal asing merentasi rantau tersebut.

Memandangkan perbincangan banyak menjurus kepada hal ehwal Timor-Leste, penulis telah diajukan dengan pelbagai soalan menarik terutamanya tentang hak Timor-Leste dalam melakukan penerokaan dan penggalian minyak secara usahasama dengan Australia di Laut Timor.

Pada hari Selasa, 5 Mei 2015, penulis meneruskan tugas rasmi sebagai pensyarah pelawat di Universidade Da Paz (UNPAZ) pula iaitu universiti swasta pertama di Timor-Leste. Penulis telah menyampaikan kertas kerja yang sama seperti yang telah dibentangkan di UNTL. Pihak Dekan Fakulti Undang-undang di UNPAZ sangat berterima kasih kepada penulis kerana sudi menyampaikan syarahan di sana dan berharap penulis dapat kembali lagi di Timor-Leste pada masa yang akan datang.

Seribu Satu Kenangan

Segala yang bermula pasti akan berakhir, begitu juga perkhidmatan penulis sebagai pensyarah pelawat di UNTL dan UNPAZ. Penulis bertolak pulang ke Malaysia pada tanggal 6 Mei ditemani hujan renyai sepanjang perjalanan dari Dili ke Lapangan Terbang PNL.

Pesawat Sriwijaya Airlines meninggalkan bumi Dili pada jam 11 pagi menuju barat ke Denpasar dan Jakarta. Setelah berhenti selama empat jam di Jakarta, penulis kemudiannya terbang ke KLIA dan tiba di tanah air pada awal pagi 7 Mei.

Kenangan sebagai pensyarah pelawat di UNTL dan UNPAZ dan kunjungan ke Timor-Leste akan sentiasa kekal menjadi kenangan terindah dan ini semestinya bukan pengakhiran kepada hubungan di antara dua buah negara dari Nusantara ini. Penulis akan pasti berkunjung lagi ke Dili bagi membawa nama USIM dan Malaysia untuk berkongsi ilmu bersama-sama warga Timor-Leste, negara terbaru di Asia Tenggara yang sedang mengejar cita-cita mereka untuk menjadi sebuah negara maju yang berdaya saing seiring jiran-jiran mereka yang lain di rantau Asia.

> Dr Mohd Hazmi bin Mohd Rusli adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di School of Law, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

Timor-Leste, Indonesia, Pulau Timor

Artikel Lain