suria

Pengorbanan Dalam Kenangan...

LEBUHRAYA Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan sudah 33 tahun dibuka kepada lalu lintas.  Bagi kebanyakan kita, lebuh raya sepanjang 125 kilometer yang beroperasi mulai Julai 1982 ini hanyalah sekadar laluan yang memendekkan perjalanan dari Utara ke pantai Timur, khususnya Kelantan.

Tetapi lebih daripada itu, ia adalah lambang kegigihan dan pengorbanan generasi dahulu untuk keselesaan generasi masa kini dan akan datang. Pembinaannya diwarnai dengan air mata, penderitaan, kesusahan dan cabaran dengan pengganas komunis sentiasa memberi ancaman.

Lebuh raya ini membolehkan pemandu dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara menuju  ke Kelantan tanpa perlu turun ke Selatan melintasi beberapa negeri untuk sampai ke destinasi. Mereka hanya perlu memasuki Gerik dan menggunakan lebuh raya ini untuk ke sana, begitu juga sebaliknya. Jarak perjalanan menjadi lebih dekat dan banyak masa dijimatkan.

Pembinaan Lebuhraya Timur Barat mempunyai strategi serampang dua mata. Pertama, memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna memendekkan jarak perjalanan serta menjimatkan masa. Kedua, untuk mengekang kegiatan pengganas komunis khususnya di kawasan Gerik. 

Menelusuri lebuh raya ini akan membangkitkan kenangan pahit yang tercatat dalam lipatan sejarah betapa air mata tumpah dan jerih perih yang terpaksa dilalui oleh para pekerja dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang diamanahkan oleh kerajaan melaksanakan pembinaan lebuh raya tersebut.



ANCAMAN

Ketika ancaman komunis antara tahun 1967 hingga mereka meletakkan senjata di bawah Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989, Gerik adalah kawasan hitam. Kawasan keselamatan (security area) ini sentiasa dikawal dan diawasi oleh pasukan keselamatan demi melindungi penduduk daripada ancaman komunis.

Dalam usaha memerangi pengganas komunis, khususnya di kawasan Gerik dan sekitar seperti Keroh (Pengkalan Hulu) dan Baling, perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra,  mencetuskan idea pembinaan Lebuhraya Timur Barat pada 1967.  Matlamat pembinaannya adalah menjadikan lebuh raya itu `lebuh raya pertahanan’, sebagai salah satu strategi melumpuhkan pergerakan komunis.

Ini sejajar dengan usaha kerajaan ketika itu memperkenalkan Program Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) yang memberi penekanan kepada hal ehwal ketenteraan dan awam. Melalui program ini kerajaan merancang pelbagai strategi memerangi komunis dengan melaksanakan projek-projek pembangunan khususnya di kawasan luar bandar. Antaranya pembinaan jalan, sekolah, hospital, klinik kesihatan serta kemudahan awam seperti elektrik dan bekalan air.

Pembinaan Lebuhraya Timur Barat yang bermatlamat menghapuskan rangkaian hubungan komunis termasuk dalam skop ini. Apabila kawasan belantara di sepanjang lebuh raya yang dicadangkan itu dibersihkan, tempat persembunyian dan laluan komunis akan terjejas. Ini memudahkan operasi tentera menggempur serta memusnahkan kedudukan mereka, di samping memutuskan laluan mereka melarikan diri ke Thailand.

Kerja-kerja pembinaan bermula pada 1970 di bawah kendalian JKR. Pastinya ia tugas yang sukar dan mencabar kerana kedudukan muka bumi yang berbukit bukau, bergunung-ganang, berlurah dan berbatu batan merentasi laluan pembinaan yang dicadang, selain hutan belantara yang tebal.



Lebuh raya ini melalui dua banjaran utama itu Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa.

Komunis adalah ancaman utama projek pembinaan ini. Mereka memberi tentangan, mengganggu dan mensabotaj dalam usaha menggagalkan projek berkenaan. Mereka juga mendatangkan kemudaratan, kemusnahan dan kesusahan kepada para pekerja serta membinasakan peralatan yang digunakan.

Untuk melindungi para pekerja dan peralatan, pihak tentera mengadakan kawalan ketat di lokasi pembinaan. Pos tentera diwujudkan pada setiap kilometer laluan pembinaan. Pembinaan lebuh raya dijalankan serentak dari arah Gerik dan dari Jeli.

TERKORBAN

Pada peringkat awal, pembinaan dijalankan dalam keadaan serba kekurangan. Pekerja dan peralatan yang digunakan tidak mencukupi. Hanya pada awal 1973 peralatan dan pekerja sepenuhnya diperoleh bagi membolehkan pembinaan berjalan lancar.

Dua buah Kem Pangkalan (Base Camps) diwujudkan, sebuah di Gerik dan sebuah lagi di Jeli. Di kem inilah keseluruhan tenaga kerja dan kaum keluarga mereka yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya itu ditempatkan. Kem Pangkalan di Gerik masih wujud. Sebahagian daripadanya masih berpenghuni tetapi ada bangunan ditinggalkan usang tidak didiami.



Tugas penerokaan awal amatlah sukar, dimulai dengan pembinaan laluan ke kawasan pembinaan, diikuti dengan menebang dan membersihkan hutan. Apabila kerja-kerja pembinaan bertambah rancak dan jarak perjalanan antara kem pangkalan ke lokasi pembinaan semakin jauh, kem-kem baru dibina berhampiran kawasan pembinaan.

Dalam susah payah inilah juga komunis terus memberi ancaman, mensabotaj dan menyerang hendap. Kawalan keselamatan diperketat dan operasi memburu komunis terus menerus dilancarkan menerusi `Ops Pagar’ yang dijalankan sepanjang tempoh pembinaan lebuh raya ini.

Dalam serangan komunis pada 23 Mei 1974 sebanyak 63 jentolak diletup dan dimusnahkan. Serangan bermula dari pukul 8 malam sehingga pagi. Kemusnahan ini bukan sahaja menyebabkan kerugian tetapi menyebabkan kerja-kerja pembinaan tergendala seketika.

Lebih menyedihkan, dalam satu lagi serangan pada 27 Ogos 1974,  tiga pekerja JKR terkorban dan ada yang tercedera. Serangan hendap ini berlaku ketika para pekerja yang menaiki lori dari Kem Pangkalan di Gerik dalam perjalanan ke Banding, dengan diiringi oleh trak tentera.

Mereka yang terkorban hanya dikenali sebagai Ismail, Husin dan Ali.

Peristiwa menyayat hati ini menggambarkan betapa air mata, duka dan ancaman menjadi sebahagian daripada kisah di sebalik pembinaan lebuh raya ini. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang terkorban kerana kemalangan semasa bekerja. Sesungguhnya inilah pengorbanan tidak ternilai yang telah mereka sumbangkan demi keselesaan dan kemudahan generasi masa kini dan akan datang.



KOS


Kesukaran pembinaan lantaran hutan belantara, rupa bumi yang berbukit bukau serta batu batan dan lembah, ditambah ancaman komunis menjadikan tempoh pembinaan menjangkau selama 12 tahun.

Kosnya juga meningkat daripada bajet awal sebanyak RM85 juta. Lebuh raya sepanjang 125 kilometer antara Gerik dengan Jeli ini akhirnya disiapkan dengan kos RM396 juta dan dibuka kepada lalu lintas mulai 1 Julai 1982.

Memandangkan lebuh raya ini dalam kawasan keselamatan, pihak tentera terus mengawal laluan keluar-masuk lebuh raya ini selepas dibuka. Pengguna hanya dibenarkan melalui lebuh raya ini pada waktu siang atas faktor keselamatan. Tiada kenderaan dibenarkan melalui lebuh raya ini selepas pukul 6 petang dari kedua-dua belah hala Gerik dan Jeli.

Jika dari arah Gerik, pos kawalan tentera pertama terletak di Kem Sungai Rui. Apabila sampai di pos ini, selepas pukul enam, pengawal tentera akan bertanya arah tujuan. Jika hendak ke Felda Bersia (lebih kurang tiga kilometer dari pos ini), pemandu dibenarkan masuk. Jika hendak ke Jeli mereka akan diminta berpatah balik.

Jika pemandu membuat helah, mereka tidak akan terlepas kerana ada satu lagi pos kawalan keselamatan selepas simpang Felda Bersia. Tiada siapa dibenarkan melintasi sekatan ini yang ditutup sepenuhnya selepas pukul enam petang. Kawalan tentera ini akhirnya dihentikan pada 1989 berikutan termetrainya perjanjian damai di Haadyai dan anggota Parti Komunis Malaya (PKM) meletakkan senjata dan menyerah diri.



MEMPESONAKAN

Merentasi Lebuhraya Timur Barat memang menyejukkan mata dengan pemandangan hijau di sekeliling serta melalui lereng-lereng bukit. Terdapat lima jambatan di sepanjang lebuh raya ini iaitu Jambatan Sungai Rui (256 meter), Jambatan Tasik Temenggor (sebelah barat sepanjang 880 meter), Jambatan Tasik Temenggor (sebelah timur sepanjang 640 meter), Jambatan Hulu Sungai Pergau sepanjang 159 meter dan Jambatan Hilir Sungai Pergau sepanjang 158 meter.

Selain itu terdapat lima kawasan Rawat dan Rehat (R&R) di sepanjang lebuh raya iaitu di Perah (Gerik), Pulau Banding, Air Banun, Titiwangsa (1,050 meter di atas paras laut) dan Tasik Pergau.

Pemandangan yang mempesonakan sudah pastinya di Tasik Temenggor Banding (Tasik Banding), tasik buatan manusia yang luas terbentang dan airnya yang hijau jernih, terbentuk hasil pembinaan Empangan Temenggor. Tasik ini juga kini menjadi tempat memancing dan pelbagai aktiviti sukan air yang popular.

Tidak jauh dari Tasik Banding iaitu di Kem Sri Banding, terletak satu dataran dikenali sebagai Dataran Juang milik Tentera Darat. Di dataran ini diabadikan nama-nama 116 anggota tentera yang terkorban sepanjang konfrantasi dengan komunis antara tahun 1968 hingga 1989.  Selain itu dicatatkan juga keberanian beberapa anggota tentera yang tidak menghiraukan keselamatan diri menentang komunis habis-habisan hingga gugur sebagai bunga bangsa.

GAJAH

Mereka yang melalui lebuh raya ini juga perlu awas dengan kehadiran gajah liar, tambahan di waktu malam. Jika terserempak dengn kumpulan gajah ini biarkan saja mereka berlalu sebelum meneruskan perjalanan. Jangan sekali-kali membunyikan hon kerana ini akan mengejutkan gajah-gajah tersebut yang mengakibatkan mereka menyerang pemandu.



Ada pada waktu-waktu tertentu kumpulan gajah ini akan tidur di atas jalan tar untuk memanaskan badan mereka. Haba panas yang terperangkap di dalam batu tar di siang hari digunakan sepenuhnya oleh gajah pada waktu malam.
 
Pembinaan Lebuhraya Timur Barat ini adalah lambang kegigihan dan pengorbanan generasi dahulu, khususnya pihak JKR dan para pekerja yang tabah meneruskan pembinaan sekalipun berdepan cabaran kerja yang amat sukar dan berisiko tinggi.

Titisan air mata mereka dahulu membawa kesenangan kepada generasi masa kini. Bukan sahaja perjalanan antara pantai Barat dan pantai Timur semakin dekat, ia juga berjaya mengekang kegiatan pengganas komunis. Mungkin generasi sekarang tidak akan dapat menghayati atau memahami erti pengorbanan ini. Bagi mereka lebuh raya tersebut hanyalah laluan yang dibina bagi memudahkan perjalanan mereka dengan selesa dan pantas.

Penderitaan dan pengorbanan para pekerja di sebalik pembinaan Lebuhraya Timur Barat ini  diabadikan dalam bentuk sebuah tugu peringatan berhampiran Kem Sri Banding. Di lokasi inilah komunis melancarkan serang hendap yang memusnahkan 63 jentolak dan membunuh tiga pekerja JKR. 

MENYAYAT HATI

Catatan pada tugu peringatan tersebut sangat menyayat hati, sangat mengusik kalbu. Juga terdapat papan tanda mengandungi gambar-gambar dan penerangan ringkas mengenai serangan komunis berkenaan serta proses pembinaan lebuh raya berhampiran tugu tersebut.

Diperturunkan tulisan pada batu ingatan tersebut yang bertajuk;  `Pengorbanan Dalam Kenangan Jalan Raya Timur Barat (1970-1982)’.



“Jalan Raya Timur Barat (Gerik-Jeli) telah dibuka pada lalu lintas pada 1 Julai 1982. Banyak nyawa telah terkorban semasa kerja pembinaan dilaksanakan mulai tahun 1970.  Ada yang terkorban semasa kemalangan di tempat kerja dan ada yang diserang oleh pengganas komunis.

“Di lokasi ini 63 buah mesin jentolak tanah telah diletupkan oleh pengganas komunis pada 23 Mei 1974. Di lokasi ini juga tiga nyawa pekerja JKR telah terkorban dan beberapa lagi cedera dalam serangan pengganas pada 27 Ogos 1974. Beberapa serangan lain juga telah berlaku di sepanjang jalan raya yang melibatkan pekerja JKR dan anggota pasukan keselamatan. Kita memperingati semua yang telah berkorban nyawa bagi menjayakan pembinaan Jalan Raya Timur Barat ini. Sila sedekahkan Al-fatehah kepada orang-orang yang terkorban di sini.”

Sejajar dengan Rancangan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya Malaysia 1993,  Lebuhraya Timur Barat disambung selari dengan pembinaan Lebuhraya Butterworth-Kulim. Titik penghujung lebuh raya tersebut di persimpangan Sungai Seluang menjadi titik permulaan Lebuhraya Butterworth-Kulim.

Bahagian Kulim-Baling dibina dahulu diikuti bahagian akhir dari Titi Karangan ke Gerik di mana lebuh raya sambungan itu bertemu dengan Lebuhraya Timur Barat yang asal. Pembinaan bahagian akhir ini bermula pada 2001 dan siap pada 2005. Jarak antara Kulim dengan Gerik ialah 125 kilometer melalui lebuh raya sambungan ini.



Artikel Lain