suria

Said Zahari Benteng Terakhir Melayu Raya Di Utusan Melayu

Zainuddin Maidin atau Zam mengimbau memori suka duka bersama Said Zahari ketika hayatnya.

BETAPA marah perasaan seseorang wartawan Utusan Melayu kepada Utusan tetapi perasaannya tetap tidak dapat berpisah dari akhbar tersebut sekali pun telah bekerja di tempat lain atau telah bersara.

Wartawan–wartawan yang mahu menjadikan Utusan sebagai medan perjuangan politiknya akan menghadapi kekecewaan bila perubahan-perubahan politik dan kuasa berlaku yang bertentangan dengan fahaman atau ideologi mereka.

Contoh terbesar dan menjadi sejarah hitam kerana perjuangan ideologi ini ialah pemogokan  seluruh pekerja Utusan Melayu selama tiga bulan yang berakhir pada Oktober 1961. Mogok ini diketuai oleh pengarang Utusan, Said Zahari yang meninggal dunia pada Selasa, 12 April. Allahyarham berusia 88 tahun.

Said Zahari tersingkir dari Utusan Melayu setelah mengetuai pemogokan ini yang melibatkan  seluruh pekerja Utusan Melayu kerana membantah tindakan Umno untuk menguasai Utusan kerana di bawah pimpinannnya, Utusan terus memperjuangkan konsep Melayu Raya yang percaya kepada penggabungan dua buah negara iaitu Indonesia dan Malaya.

Apabila saya menjemput Said menghadiri majlis malam ulangtahun ke-50 Utusan Melayu di Kuala Lumpur setelah beliau dibebaskan dari tahanan ISA di Singapura selama 17 tahun, Said merasa amat besar hati dan menganggap ia sebagai suatu keberanian dari saya untuk membawanya kembali ke pangkuan Utusan Melayu selepas sekian lama.

Perjuangan kearah penyatuan Indonesia-Malaysia ini didokong sepenuhnya oleh seorang lagi pejuang, penulis dan wartawan veteran iaitu Samad Ismail yang dalam usia mudanya ketika menjadi wartawan Utusan Melayu di Singapura telah pun memainkan peranan membantu gerakan revolusi kemerdekaan Indonesia di awal tahun 1940-an.

Penyeludupan senjata ke Indonesia untuk membantu perjuangan itu berlaku dari pejabat Utusan Melayu di Cecil Street, Singapura.

Apabila Samad terpaksa meninggalkan Utusan kerana tidak dikehendaki oleh Presiden Umno, Tunku Abdul Rahman kerana menganggapnya sebagai anasir komunis, maka beliau mewariskan perjuangannya itu kepada rakan-rakan yang dibinanya di Utusan Melayu.

Di antaranya ialah Said Zahari, Usman Awang dan Hussein Jahidin.

Dan apabila Samad dihantar untuk menjadi wakil Utusan di Indonesia oleh Pengarah Urusan Utusan Melayu ketika itu, Yusuf Ishak (kemudiannya menjadi Presiden Singapura), Samad telah meletakan jawatannya di Jakarta dan kembali untuk bekerja dengan Straits Times di Kuala Lumpur tetapi hubungan dengan kader-kadernya di Utusan tidak pernah putus.

Mereka meneruskan perjuangan dan cita-cita Melayu Raya Samad Ismail.

MOGOK

Walaupun Samad tidak lagi bekerja dengan Utusan tetapi semangat yang ditinggalkannya terus membara sehinggalah dipatahkan oleh Umno pada tahun 1961. Mogok Utusan Melayu yang diketuai oleh Said Zahari telah membuka laluan kepada Umno untuk menyingkirkan orang-orang yang dianggap berhaluan kiri di Utusan yang terus memperjuangkan cita-cita Melayu Raya itu dengan sokongan oleh Parti Rakyat Malaya dan golongan kiri di luar Utusan.



Sebenarnya, mogok ini adalah merupakan mogok yang ditangguhkan oleh para pekerja Utusan Melayu apabila Samad Ismail mahu ditukarkan oleh Yusuf Ishak ke Jakarta. Yusuf menerima arahan daripada Lee Kuan Yew atas permintaan Tunku.

Yusuf adalah seorang sosialis tetapi bukan berfahaman Marxist sepertimana Samad.

Jadi, Said Zahari merupakan benteng terakhir “Melayu Raya” di Utusan Melayu, gagasan yang dicita-citakan oleh Presiden Indonesia, Soekarno untuk menegakkan kuasa Melayu  di Nusantara.

Samad Ismail percaya bahawa orang-orang Cina terutama yang pro-komunis di Singapura akan tunduk kepada konsep gagasan ini sekiranya dapat ditegakkan tetapi Perdana Menteri Malaysia yang cerdik, Tunku Abdul Rahman melihat bahaya gagasan ini yang akan meletakkan Malaya sebagai tanah jajahan Indonesia.

Dan Indonesia yang miskin dan tidak tahu menguruskan negara akan akhirnya terletak di bawah telunjuk Republik Rakyat China yang menjadi sahabat rapat Soekarno dan juga PKI (Parti Komunis Indonesia) yang berpengaruh besar di negara itu.

Maka itu, Tunku tidak dapat menerima Samad Ismail untuk mengetuai operasi harian Utusan tetapi Samad tidak pernah mati di Utusan.

Said Zahari, telah muncul sebagai ketua barisan depan perjuangan Melayu Raya tetapi tidak disenangi oleh sebahagian besar orang Melayu yang menyokong Umno ketika itu dan ini menyebabkan pengedaran akhbar Utusan Melayu jatuh sehingga tinggal 25,000 naskhah sehari walaupun pernah mencapai angka jualan sebanyak 50,000 maskhah ketika kemuncaknya.

Ketika itu, saya menjadi wakil Utusan di Kedah dan Perlis dan menyedari hakikat ini sekalipun jiwa saya adalah bersama dalam perjuangan Said Zahari.

SIKAP PRO INDONESIA

Di bawah pimpinan Said, Utusan menampakkan sikap pro Indonesia yang mahukan Malaysia selari dengan dasar sosialisme dan kekirian yang menentang konsep pelaburan modal asing, anti  Barat dan menyokong Blog Timur yang di bawah pengaruh negara-negara besar komunis seperti Kesatuan Soviet dan juga China.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berbual dengan Said Zahari (berkerusi roda) selepas menyampaikan anugerah Wartawan Cemerlang Negara pada 2011. Turut hadir ketika itu ialah Penolong Ketua Pengarang I Utusan Malaysia, Zaini Hassan (kiri) dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Akmal Abdullah yang menerima anugerah Wartawan Utama.

Said dan rakan-rakannya mendakwa mogok yang mereka lancarkan itu adalah untuk mempertahankan kebebasan akhbar tetapi sebenarnya adalah untuk mempertahankan dasar pro Indonesia.

Tulisan yang banyak disiarkan Utusan Melayu ketika itu adalah dari golongan nasionalis kiri malah akhbar Utusan Pelajar akhirnya dipenuhi oleh tulisan daripada pemimpin-pemimpin  barisan depan pro komunis seperti Lim Cheng Siong dan Fon Swee An.

Sekiranya Utusan tidak diambil alih oleh Umno, besar kemungkinan Utusan akan dapat mempengaruhi orang Melayu untuk menyokong gerakan kiri yang pro Indonesia, pro komunis dan bermusuhan dengan Barat.

Maka itu kerajaan memikirkan bahawa sudah sampai masanya Utusan diambil alih oleh Umno dan menjalankan dasar-dasar pro kapitalisme dan berbaik dengan negara-negara Barat yang merupakan pasaran besar bagi pengeluaran bumi Malaysia seperti getah dan timah.

Tunku juga terpaksa menyingkirkan Yusuf Ishak yang masih menjadi Pengarah Urusan Utusan Melayu ketika itu kerana beliau tidak dapat mengawal orang-orang kiri yang menguasai Jabatan Pengarangnya.

Apabila Said Zahari ditukarkan balik ke Singapura maka keputusan serta merta diambil dengan persetujuan seluruh pekerja di kilang dan Jabatan Pengarang untuk membantah dan melancarkan mogok.

Mogok ini adalah merupakan mogok yang terpanjang dalam sejarah pemogokan di Malaysia iaitu selama tiga bulan tetapi akhirnya dipecahkan dengan bantuan polis dan juga dengan membawa pekerja-pekerja Utusan dari Singapura dengan bantuan Lee Kuan Yew yang mempunyai kadernya di Utusan iaitu Othman Wok.



ISA

Setelah mogok ini gagal, Said Zahari yang dipecat telah pulang ke Singapura dan ketika beliau di sanalah, telah ditahan oleh pemerintah Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama lebih 17 tahun kerana dikatakan terlibat dengan gerakan pemberontakan di Brunei yang dilancarkan oleh Parti Rakyat Brunei yang diketuai oleh Azhari yang juga seorang yang pro Soekarno.

Said telah menafikan penglibatannya dalam gerakan tersebut tetapi beliau tidak dapat berselindung sikap pro komunis dan pro sosialisnya bila beliau diketahui rapat dengan Lim Cheng Seong seorang pemimpin komunis yang berpengaruh di kalangan orang Cina di Singapura.

Said juga setelah pembebasannya telah pergi menemui Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya(PKM) Chin Peng yang menetap di Bangkok.

Chin Peng terus menetap di Bangkok, setelah menanda tangani perjanjian damai dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand pada tahun 1989 untuk menamatkan gerakan gerilanya.

JASA

Walau apa pun yang telah berlaku, namun Pak Said Zahari amat berjasa besar kepada diri saya kerana beliaulah yang mengambil saya bekerja sepenuh masa di Utusan selepas saya bermula sebagai pemberita sambilan di Alor Setar dan kemudianya menjadi wakil tetap bagi Kedah dan Perlis.

Said percaya bahawa saya juga selari dengan dasar-dasarnya di Utusan.

Semasa beliau menjadi pengarang, saya dapat merasakan perjuangan Utusan yang didokong oleh seluruh pekerja Utusan dalam semangat anti neo kolonialisme, kapitalisme yang mahu membersihkan dunia dari penjajahan dan pengaruh Barat yang dianggap mahu mengexploitasi dan memerah kekayaan negara-negara baru merdeka terutama di Asia dan Afrika.

Maka itu wujud gerakan Afro Asia yang disokong kuat oleh Utusan Melayu.

Apa pun yang dikatakan tentangnya tetapi tidaklah dapat dinafikan bahawa Said Zahari adalah seorang pengarang yang sanggup berkorban, sanggup ditahan bertahun-tahun di dalam penjara, sanggup berpisah dengan anak-isterinya demi untuk menegakkan kepercayaannya.

Sukar lagi untuk dicari di zaman ini seorang pejuang berani dan senantiasa bersemangat  tinggi memperjuangkan ideologinya.

Matanya senantiasa bersinar tajam walaupun usianya sudah lanjut bila saya menemuinya tidak lama dahulu bagi kali yang terakhir.

Saya menghadiahkan kepadanya buku tulisan saya -  DI DEPAN API DI BELAKANG DURI - sebuah sejarah lengkap Utusan Melayu termasuk perjuangan beliau.

Beliau ditahan selama lebih 17 tahun oleh Kerajaan Singapura adalah kerana tidak sangup untuk membuat pengakuan di atas kesilapan perjuangannya tetapi kedegilannya tidaklah boleh menghalalkan penahanan selama itu oleh Lee Kuan Yew.

Kerana Lee Kuan Yew juga Samad Ismail telah ditahan sekali lagi di Malaysia di saat hubungan beliau dengan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein begitu akrab. Ini adalah fobia Lee Kuan Yew terhadap komunis.

KEMBALI



Walaupun Said Zahari marah dengan beberapa orang wartawan Utusan Melayu yang dianggap telah menyelewengkan dasar asal Utusan Melayu tetapi beliau tidak menyimpan perasaan dendam, sebaliknya apabila dijemput untuk menghadiri malam kenangan lima puluh tahun Utusan Melayu, beliau telah mencatatkan autograf di dalam bukunya "Meniti Lautan Gelora" yang dihadiahkan kepada saya kerana sanggup melancarkannya sebagai Timbalan Menteri Penerangan dengan kata-kata berikut:

Saudara Zam (Zainuddin Maidin), Terima kasih atas keberanian dan kesanggupan Saudara “membawa balik” saya kepangkuan Utusan Melayu inspite of what had happened.

Beliau tidak sahaja datang memenuhi jemputan saya tetapi sebelum menghadiri majlis pada malamnya, telah pergi menemui bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Tan Sri Melan Abdullah di rumahnya.

Melan merupakan 'musuh' utamanya ketika mogok kerana menyokong Tunku dan Umno. Mereka berdakapan dan bertangisan. Mereka bersatu dalam jiwa Utusan Melayu yang tidak pernah memisahkan perasaan persaudaraan antara mereka. Itulah suara keramat.


#Artikel ini ditulis secara eksklusif oleh Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas Ketua Pengarang Utusan dan bekas Menteri Penerangan kepada mStar Online.

Artikel Berikut

Artikel Lain