suria

Malas pergi mengaji, remaja perempuan dakwa diculik... Pandai reka cerita dilarikan naik van, mulut ditutup!

Seorang remaja mengaku diculik gara-gara malas ke kelas mengaji.

CERITA seorang remaja perempuan yang mendakwa menjadi mangsa culik sebelum dia berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian Rabu lalu didapati hanya rekaan semata-mata.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan mendapati remaja berusia 13 tahun itu sengaja mereka-reka cerita ‘diculik’ kerana enggan pergi mengaji.

Berdasarkan soal siasat dan rakaman percakapan mangsa dan saksi serta maklumat tempat kejadian yang dinyatakan, terdapat keraguan menunjukkan mangsa membuat cerita kononnya diculik.

“Mangsa juga takut dimarahi pengadu (ibunya) kerana enggan mengaji,” katanya menerusi kenyataan media.

Kasim berkata, siasatan mendapati mangsa berjalan-jalan ke Wawasan Plaza dan pengawal keselamatan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) mendapati remaja berkenaan berada di situ dalam tempoh lama.

Susulan kejadian itu, Kasim menasihati orang ramai agar tidak mereka-reka cerita berkaitan kes jenayah kerana boleh menimbulkan panik, selain menjadi satu kesalahan membuat laporan palsu.

“Perbuatan itu juga menyusahkan pihak polis selain membuang masa dan tenaga melakukan siasatan,” katanya.

Selain itu, Kasim mengarahkan supaya remaja terbabit diserahkan kepada ibu bapanya dan diberikan nasihat agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

Terdahulu, tular di media sosial dan berdasarkan apa yang tersebar, mangsa dikatakan diculik dan dibawa lari menggunakan van putih di Kampung Tanjung Aru Baru di Sabah.

Mangsa turut mendakwa mulutnya ditutup bagaimanapun dia sempat melarikan selepas penculik berhenti untuk membuang air kecil di tepi jalan dekat Sutera Harbour di Kota Kinabalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain