suria

[V] Video pelat Leona bawa tuah, tontonan ‘Ketipak Ketipung Raya’ Aisha Retno naik mencanak

WALAUPUN ada mengecam Kasih Leona menyanyikan lagu Ketipak Ketipung Raya namun penyanyi asalnya Aisha Retno meluahkan rasa syukur apabila versi personaliti media sosial berkenaan tular.

Aisha atau Sharifah Aisha Retno Syed Sipulijam, 24, memberitahu disebabkan video anak pelakon Azhar Sulaiman itu, jumlah tontonan lagu tersebut mendadak naik.

"Leona tak buat-buat dan memang dia kelakar. Saya sangat gembira sebab dia memberi impak serta promosi kepada lagu tersebut.

Untitled design (82)

Aisha mengakui telatah Leona kelakar dan tidak dibuat-buat.

"Terima kasih kepada Leona sebab kalau tengok statistik yang ditunjukkan label saya, jumlah tontonan dan penstriman mencanak selepas video tersebut tular.

"Hari tersebut sahaja jumlah tontonan yang baru mencapai 3.4 juta mendadak naik kepada empat juta!," katanya kepada mStar.

Aisha berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis sidang media The Hardest Singing Show yang berlangsung pada petang Selasa.

Sebelum ini, Leona menerima kritikan netizen apabila video dia menyanyikan lagu nyanyian Aisha dan Aziz Harun secara pelat tular di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Kasih Leona terkejut ditegur pelat cakap Melayu, anggap pertuturan sudah sempurna

ARTIKEL BERKAITAN: Dipuji pandai mengaji, Aisha Retno belajar taranum dan khatam al-Quran semasa di bangku sekolah

Membalas kepada video tersebut, Aisha dengan bersahaja memuat naik video parodi menyanyikan lagu Ketipak Ketipung Raya versi Leona yang turut mendapat perhatian ramai.

Dalam pada itu, Aisha tidak melenting apabila orang ramai melakukan pelbagai aksi parodi menggunakan lagu tersebut.

Sebaliknya dia suka melihat reaksi dan kreativiti pendengar terhadap lagu ciptaannya.

"Video balasan saya terhadap video viral Leona itu sudah mencecah tujuh juta tontonan, saya boleh simpulkan orang inginkan sesuatu yang seronok dan tak serius sangat.

Leona tak buat-buat dan memang dia kelakar.

AISHA RETNO

PENYANYI

"Mungkin sesetengah netizen rasa video balasan itu sebab saya melenting tapi tidak. Saya memang suka tonton benda-benda macam itu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aisha teruja bakal berentap dengan sembilan penyanyi hebat menerusi The Hardest Singing Show.

Program itu kata Aisha bakal mencabar kemampuan dia sebagai seorang penghibur apabila perlu kreatif ketika membuat persembahan.

"Kalau ikutkan banyak jadual saya bercanggah tapi disebabkan saya suka barisan penyanyi yang terlibat dan konsep program ini, saya masuk juga.

Untitled design (79)

Aisha (duduk hujung kanan) terlibat sebagai peserta The Hardest Singing Show.

"Berdasarkan taklimat, saya pun ternganga juga mendengar format program ini tapi saya dah bersedia," katanya.

Program terbitan Astro ini bakal menampilkan sembilan orang bintang ternama lain iaitu Datin Alyah, Kaka Azraff, Ayda Jebat, Epul Roza dan Putera Mohammad.

Turut bertanding kumpulan De Fam, Zizi Kirana dan Stacy.

The Hardest Singing Show bakal menemui penonton bermula 12 Mei depan, setiap Ahad pada pukul 9 malam di Astro Ria.

Artikel Lain