SATU kajian mendakwa satu bilion manusia berisiko terdedah kepada virus zika menjelang tahun 2080. Menurut kajian itu lagi, pemanasan global boleh menjadi punca di sebalik penularan virus bawaan nyamuk seperti zika, malaria dan demam denggi. Zika misalnya jika menjangkiti wanita mengandung, ia boleh memberi kesan kelahiran tidak normal seperti bayi memiliki kepala yang kecil. Satu pasukan di Universiti Florida diketuai oleh Sadie J Ryan dan Colin J Carlson berkata, penyakit itu menular di seluruh dunia mengikut perubahan suhu. Mereka mendapati kawasan yang mempunyai iklim tidak sesuai untuk nyamuk turut berupaya menerima penularan tersebut. "Perubahan iklim menjadi ancaman utama keselamatan kesihatan di peringkat global. "Nyamuk juga salah satu cabaran dalam ancaman itu, khususnya selepas penularan zika di Brazil pada 2015," ujar Carlson. Menurut ramalan pakar, risiko penyakit bawaan nyamuk akan meningkat dalam 50 tahun akan datang ditambah dengan pemanasan di peringkat global. - Daily Star.