suria

Kampus Xiamen University Akan Bantu Malaysia Jadi Hab Pendidikan - PM

Najib (empat, kiri) bersama Pembantu Menteri Pendidikan China Chen Shun (dua, kanan) di majlis Pecah Tanah Universiti Xiamen Kampus Malaysia (XMUMC) di Sepang pada Khamis. - fotoBERNAMA
SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap penubuhan Kampus Xiamen University Malaysia (XMUMC) di sini akan membantu Malaysia menjadi hab pendidikan bertaraf dunia.

Beliau berkata Malaysia, yang ditempatkan pada ranking ke-11 dalam senarai Unesco bagi destinasi pilihan pendidikan, komited untuk memperbaiki ranking itu.

Katanya Malaysia juga komited untuk membangunkan tenaga kerja individu didikan tempatan yang berupaya untuk menjana idea baharu yang besar dan strategi pencetus perubahan yang akan mewujudkan kekayaan dan peluang kerja bagi rakyat.

"Dalam usaha untuk mencapai matlamat dan sasaran ini, Malaysia harus memperbaiki bidang dan kualiti pendidikannya. Kampus baharu Xiamen University akan membantu kita melakukannnya," katanya pda majlis pecah tanah bagi XMUMC di Salak Tinggi di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Wakil Khas Perdana Menteri di China, Tan Sri Ong Ka Ting, yang juga Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China, Presiden Xiamen University Prof Zhu Chongshi dan Duta China di Malaysia Huang Huikang.

Artikel Lain