Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pahang Datuk Mohd Johari Hussain berkata komitmen itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob semasa bercakap dengan bapa bayi itu, Abdul Rahman Ismail menerusi telefon pada Jumaat.
"Saya telah berkomunikasi dengan Menteri Besar (Pahang) yang akan melihat keperluan sekiranya pesakit memerlukan pembedahan plastik ... kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya kos pembedahan plastik itu," katanya.
Mohd Johari yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman berkata kerajaan negeri juga telah menyampaikan sumbangan kewangan kepada ibu bapa bayi itu bagi meringankan beban mereka.
Bayi itu diserang ketika berada di bahagian dapur rumah mereka bersama-sama ibunya.
Akibat kecederaan parah dialaminya, bayi itu yang pada mulanya dibawa ke Pusat Kesihatan Kampung Tekek dan kemudiannya ke Hospital Daerah Mersing, dipindahkan ke HSA untuk rawatan lanjut.
Mohd Johari berkata keadaan bayi itu semakin stabil dan diharapkan dapat keluar hospital dengan segera.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Adun kawasan Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat.
Selain menyumbang bantuan kewangan, Tengku Putra turut menawarkan kediamannya untuk diduduki oleh ibu bapa bayi itu, Abdul Rahman dan Nor Raudah Abdullah sepanjang kehadiran mereka di Johor Baharu bagi menemani anak mereka.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata keadaan anak perempuannya itu semakin pulih selepas menerima rawatan berterusan daripada doktor dan kakitangan perubatan di HSA.
Bagaimanapun, beliau belum dimaklumkan bila anaknya akan dibenarkan pulang.