KUANTAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 18 Jalan Pintasan dekat sini pagi Rabu. Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang DSP Mohd NoorYusof Ali berkata, dalam nahas pukul 8.02 pagi itu mangsa, Shaik Omar Shaik Hussin, 65, yang bekerja sebagai pemandu treler mati di tempat kejadian. "Kejadian berlaku semasa mangsa yang menetap di Batu 8 Jalan Gambang di sini itu menunggang sendirian dari arah Kemaman menghala ke Kuantan. "Sebaik tiba di tempat kejadian kenderaan yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum jatuh ke dalam longkang,"katanya kepada Bernama. Katanya, siasatan awal mendapati jalan sehala dua lorong itu tidak sibuk dan cuaca juga dalam keadaan baik semasa kejadian. Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.