PETALING JAYA: Selepas kisah lelaki lembut yang diketengahkan novel Destinasi Impian diluluskan Kementerian Pendidikan diangkat sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) tahun depan, kini terpulang kepada golongan pendidik untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi memastikan matlamat pembelajaran pelajar Tingkatan Satu tercapai. Perkara itu disampaikan anggota Majlis Profesor Negara (MPN), sehari selepas Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) turut menyuarakan perkara sama kepada mStar Online. Ahli Jawatankuasa Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, MPN, Profesor Dr Othman Lebar berkata, kegagalan guru menjadikan novel tersebut sebagai bahan pembelajaran berkesan kepada pelajar secara tidak langsung menunjukkan novel tersebut tidak wajar diangkat sebagai teks Komsas. "Tanggungjawab guru untuk elak pelajar buat interpretasi berbeza, mereka patut tahu apa yang nak disampaikan melalui novel ini. "Jangan sampai pelajar buat tafsiran salah, tidak sampailah matlamat novel ini sebagai bahan pelajaran," katanya ketika dihubungi. Menurut Othman, bagaimanapun adalah tidak wajar jika kementerian menolak terus kehadiran novel ini di sekolah-sekolah hanya kerana ia mengetengahkan watak dan konflik dalam dunia lelaki lembut. "Fenomena ini (lelaki lembut), naluri macam itu pun ada, golongan itu memang wujud, jadi kita tak boleh tolak atau lari dari realiti," katanya. Beliau menambah, dalam konteks ini guru terlebih dahulu perlu mengetahui bahawa golongan lelaki lembut adalah manusia biasa dan tidak patut dipandang serong atau disisihkan daripada masyarakat. Katanya, dengan memahami jiwa mereka, serta faktor-faktor yang menyebabkan seseorang mempunyai identiti seperti itu, baharulah cara dan pendekatan yang betul untuk mengekang gejala ini dapat diaplikasi dalam proses pengajaran. "Selalu kita ambil langkah mengelak daripada mengurus realiti. "Guru perlu membimbing dan bagi penerangan situasi sebenar bahawa dalam kehidupan ada golongan sedemikian," katanya. Destinasi Impian mengisahkan tentang Firdaus, seorang pelajar yang sering diejek dan dipandang rendah kemampuannya sebagai seorang lelaki kerana berperwatakan lembut. Firdaus sering dicabar oleh rakan-rakan dan ahli keluarganya sendiri untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan karektor dan identitinya dalam usaha menjadikan dirinya mempunyai ciri-ciri seorang lelaki sejati.