KUALA LUMPUR: Gambar Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwa terbaring kerana uzur dan kini tersebar secara meluas di laman sosial adalah gambar lama. Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. "Saya tidak pasti itu gambar bila, tapi saya tahu itu gambar lama. Dia sakit (tua) tetapi tidaklah sentiasa terbaring seperti di dalam gambar tersebut," katanya. Beliau mengulas penyebaran gambar Nik Abdul Aziz, 83, yang dilihat sedang terbaring sambil dikelilingi dan ditemani anggota keluarga di dalam sebuah bilik. Jelas Mohd Amar, kali terakhir beliau menemui bekas Menteri Besar Kelantan itu adalah sebelum berlakunya bencana banjir di Kelantan baru-baru ini dan keadaan beliau ketika itu, cuma sakit biasa.