KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Divisyen Tol IJM akan mengedarkan 2,000 keping kad Touch 'n Go secara percuma kepada pengguna lebuh raya pada 18 dan 19 Februari ini bagi menggalakkan penggunaan lorong elektronik dalam memastikan aliran trafik yang lancar. Pengedaran kad Touch 'n Go sempena sambutan Tahun Baru Cina itu akan dilakukan di Plaza Tol Pantai Dalam, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) mulai pukul 4 petang pada 18 Februari, menurut kenyataannya pada Juamaat. Lokasi lain ialah di Plaza Tol Mines dan Plaza Tol Loke Yew di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) mulai pukul 10 pagi pada 19 Februari. Selain itu, pengguna yang menuju ke selatan akan turut menikmati diskaun tol 10 peratus di Plaza Tol Ampangan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) bagi kenderaan kelas satu pada 19 Feb dari pukul 12.01 pagi hingga 12 tengah malam.