suria

Kerajaan Tarik Balik RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015

KUALA LUMPUR: Akibat menerima desakan termasuk daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN), kerajaan akhirnya akur dan menarik balik pembentangan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU berkenaan yang berada pada aturan pertama senarai urusan mesyuarat dan usul ditangguhkan sehingga sesi persidangan akan datang.

Antara elemen penting rang undang-undang itu termasuk cadangan memasukkan Bab baharu XLIA yang membolehkan pegawai polis merampas harta alih dan harta tidak alih yang dimiliki seseorang anggota kumpulan jenayah yang disyaki harta tidak sah.

Berdasarkan cadangan pindaan itu, jika mana-mana harta dirampas mahkamah hendaklah menganggap harta itu ialah harta tidak sah kecuali orang yang harta itu dirampas membuktikan sebaliknya melalui keterangan boleh terima.

Selain itu fasal 11 RUU berkenaan turut bertujuan memasukkan seksyen baharu 407B ke dalam Akta 593 yang mengkehendaki tertuduh untuk membayar penalti jika harta yang dirampas telah dilupuskan atau tidak boleh dikesan.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, kerajaan turut menangguhkan RUU Keterangan (Pindaan) 2015 untuk bacaan kali kedua dan ketiga hingga mesyuarat akan datang.

Penangguhan itu ekoran desakan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang pada sesi perbahasan sebelah pagi yang menyifatkan ia sebagai zalim.

Terdahulu ketika sesi perbahasan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang masing-masing mendesak supaya ia ditangguhkan bagi tujuan penambahbaikan.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika menyertai sesi perbahasan berkata, desakan wakil rakyat kerajaan supaya RUU itu ditarik balik membuktikan mereka tidak berperanan seperti ‘rubber stamp’.

Jelasnya, Ahli Parlimen BN sentiasa konsisten dalam memastikan setiap undang-undang baharu yang digubal adalah berkesan tanpa menzalimi mana-mana pihak.

"Siapa kata kita rubber stamp. Bagi saya kalau ada akta yang kita tak selesa, rakyat tak selesa...kita akan bantah.

"Sebetulnya saya tak boleh menerima akta yang sebegini. Ini penuh penganiayaan. Jadi saya minta supaya kementerian, menteri...kita Ahli Parlimen tak selesa dengan akta ini," katanya.

Pandangan Bung turut disokong Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang mahu RUU itu dikaji semula.

"Ini pertama kali saya setuju dengan pembangkang. Tapi bukan (nak jadi) pembangkang,…tapi peguam-peguam pembangkang dan juga peguam-peguam BN.

"Saya setuju kerana mereka pengamal undang-undang. Mereka lebih tahu. Saya setuju RUU ini ada banyak kekurangan. Masih banyak persoalan, saya mohon kaji balik," katanya ketika mencelah sesi perbahasan Bung.

Turut mencelah ialah Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang mahu kerajaan menggubal sebuah akta yang membawa kebaikan kepada rakyat.

"Kita bukan setuju kerana pembangkang membangkang, tapi atas dasar semangat akta ini.

"Kita bantah bagi menunjukkan yang kita mampu bawa undang-undang yang baik kepada rakyat," katanya.

Sementara itu Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan seharusnya membuat perbincangan dan kajian dengan sebaik mungkin sebelum membawa RUU berkenaan yang disifatkannya sebagai tidak adil.

"Kenapa dalam mewujudan RUU ini tak ada satu perbincangan yang mendalam.  Sebagai bekas peguam saya tengok agak tidak adil, saya agak terperanjat kenapa agak ghairah sangat nak laksanakan undang-undang sampai lupakan peranan hakim, agensi dan sebagainya.

"Saya agak terperanjat keadaan jadi kelam kabut. Saya minta menteri tarik balik,  bincang balik supaya rakyat selesa. Supaya undang-undang ini janganlah begitu zalim sangat," katanya.

Sebelum itu M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) ketika membahaskan RUU yang sama turut berkali-kali mendesak supaya kerajaan menarik balik atau menangguhkannya.

Nga Kor Ming (DAP-Taiping) melahirkan permintaan yang sama dan mahu supaya RUU itu dikaji semula dan melalui proses yang lebih matang.

Dewan Rakyat, RUU

Artikel Lain