Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat portal berkenaan dan telah mengarahkan Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan susulan.
"Saya secara rasmi ingin menafikan yang kononnya ada dokumen atau surat arahan bagi penangkapan dan pendakwaan yang dilakukan Jabatan Peguam Negara kepada perdana menteri. Dan laporan yang dikemukakan oleh Sarawak Report adalah laporan jahat untuk menunjukkan persepsi negatif terhadap perdana menteri.
"Peguam Negara dah nafikan ... termasuk penafian dibuat oleh beberapa orang pegawai yang sahkan tiada dokumen yang dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah di Bukit Aman, di sini Jumaat.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri diminta mengulas tindakan yang akan diambil terhadap portal Sarawak Report berhubung penerbitan artikel berkaitan dakwaan wujud draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri dan telah dinafikan kewujudannya oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
"Saya sendiri bercakap dengan Tan Sri Muhyiddin ... rakaman itu tidak merupakan saluran rasmi untuk beliau nyatakan sebagaimana yang terdapat dalam rakaman berkenaan. Ia jadi viral kerana seolah-olah ada pandangan antagonistik yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin.
"Sebenarnya pendirian beliau jelas sebagai Timbalan Presiden Umno, beliau akan tetap sokong tindakan oleh parti. Beliau juga menyatakan jika ada pihak yang mahu membawa undi tidak percaya (terhadap perdana menteri di Dewan Rakyat), beliau juga akan menyokong supaya undi tidak percaya itu tidak dijalankan.
"Ertinya pendirian beliau amat jelas, beliau hendak terus bersama dengan kepimpinan parti dan kerajaan," jelasnya.
Sementara itu, mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa barisan jemaah Menteri yang baharu masih tidak mendapat kepercayaan orang ramai, Ahmad Zahid berkata semua pihak harus menghormati keputusan yang dibuat oleh Najib.
"Mustahil kalau dapat 100 peratus puaskan hati semua. Tapi, oleh kerana kuasa mutlak di tangan perdana menteri, tentu beliau mempunyai beberapa pandangan sebelum pengumuman pelantikan dibuat," katanya.