suria

'Majlis Bersama Timbalan Presiden Umno' Bangkit Isu Lama Yang Sama - Salleh

Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR: Penceramah pada "Majlis Bersama Timbalan Presiden Umno' pada Isnin telah mengetengahkan isu-isu lama yang sama dan telah dibangkitkan sejak setahun lepas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. 

Beliau berkata, sebenarnya tiada apa yang baharu apabila penceramah-penceramah hanya memperkatakan tentang perkara yang telahpun mereka perkatakan banyak kali. 

"Sebagai contoh, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang ditugaskan menyiasat derma RM2.6 bilion, telah mengeluarkan kenyataannya hari ini, dan kenyataan berkaitan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) juga telah dikeluarkan lebih daripada sekali,"  katanya menerusi catatan terbaru dalam blog beliau http://sskeruak.blogspot.com/ pada Isnin malam.

"Yang jelas mereka tidak begitu berminat dengan jawapan-jawapannya sungguhpun mereka menyatakan mereka mahukan jawapan. Tetapi apabila jawapan-jawapan diberikan, mereka tidak mengendahkan jawapan-jawapan itu dan berterusan bertanyakan soalan sama berulang-ulang kali," katanya.

Dalam blog itu, Salleh turut mengulas cadangan dibuat bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada majlis itu supaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) digunakan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

"Untuk mencadangkan Sosma digunakan ke atas Najib merupakan perbuatan menyalahgunakan undang-undang antikeganasan itu. Dalam cara apakah 1MDB atau RM2.6 bilion merupakan perbuatan keganasan?," soal Salleh.

"Mula-mula mereka melaungkan ia adalah rasuah. Kini mereka mendakwa ia adalah keganasan. Mereka tidak lagi konsisten dalam kenyataan mereka," katanya.

"Apa yang mereka mahu sebenarnya, seperti yang mereka akui malam ini, supaya Perdana Menteri Najib Tun Razak berundur. Inilah perkara yang sebenarnya. Malah mereka mencadangkan supaya beliau bercuti dan kembali semula sebagai Perdana Menteri apabila beliau didapati bersih daripada dakwaan itu, yang jelas sekali langsung tidak praktikal," katanya.

Isnin malam, Timbalan Presiden Umno,Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri "Majlis Bersama Timbalan Presiden Umno", yang turut dihadiri Dr Mahathir dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, di sini.

Dalam ucapannya pada majlis itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyentuh pelbagai isu semasa termasuk tentang syarikat 1MDB, kedudukan ekonomi negara, hal ehwal Umno dan Perhimpunan Agung Umno. - Bernama

Artikel Lain