suria

Peter Bellew Optimis Tentang Masa Depan MAS

Peter Bellew
KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Malaysia Airlines Bhd (MAS) Peter Bellew berkata beliau optimis tentang masa depan syarikat penerbangan itu yang disifatkannya sebagai sedang bergerak ke arah landasan yang betul.

"Kami akan memperbaikinya... ia akan diatasi. Selepas itu, kami (juga) perlu berkembang dan bergerak ke hadapan. Ia perlu menjadi lebih baik, lebih baik dan lebih baik," kata Bellew pada taklimat media yang dianjurkan oleh pengeluar pesawat Perancis-Itali, Avions de Transport Regional (ATR).

"Saya di sini selama lapan bulan, dan saya tidak pernah seketika pun saya ragu-ragu tentang perkara ini," katanya.

Bellew, bagaimanapun tidak berkongsi berapa banyak lagi baki kerja yang perlu dilakukan untuk memperbaiki syarikat penerbangan itu, yang mencatatkan keuntungan pertama pada Februari tahun ini selepas beberapa tahun mengalami kerugian dan berdepan dua bencana udara pada 2014.

"Ia agak awal...tetapi ada banyak contoh yang kita telah mula melihat kemajuannya," katanya.

"Kami perlu meningkatkan jualan, yang merupakan sebahagian daripada apa yang kami lakukan sekarang, dan segalanya menunjukkan peningkatan yang agak pesat.

"Pesawat kami akan melalui satu proses baik pulih secara besar-besaran. Kami juga melakukan rombakan lengkap terhadap (Airbus) A330, mengubah proses-proses dan penyelenggaraan besar pertama kami untuk A380 telah bermula," kata Bellew.

Beliau telah dilantik sebagai pengarah eksekutif hampir dua minggu lalu selepas Ketua Pegawai Eksekutif Christoph Mueller telah memilih untuk meletak jawatan atas sebab peribadi. Mueller akan meninggalkan MAS pada September tahun ini.

Diminta menggambarkan beberapa hari pertama di tempat kerja sebagai pengarah eksekutif baharu,  Bellew berkata: "Tidak banyak yang berubah. Ini adalah urusan perniagaan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Ia tidak mengubah kerja saya sehari-hari, walaupun dengan beberapa tanggungjawab tambahan. Ia begitu sibuk dan menyeronokkan," katanya.

Bellew datang dengan lebih dari 30 tahun pengalaman dalam penerbangan dan industri pelancongan.

Bagi pesawat A350, beliau berkata, empat buah akan tiba pada suku ketiga 2017, yang pada mulanya akan berulang-alik di kawasan serantau dan kemudian beberapa buah lagi akan digunakan untuk laluan London, yang merupakan satu-satunya destinasi Eropah di mana MAS terbang secara langsung pada masa ini.

"Bagi pesawat A380, kami memerlukan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan 2018 dan tidak ada keperluan segera selepas itu," katanya.
MAS, Peter Bellew

Artikel Sebelum

Artikel Lain