BERA: Tindakan Majlis Tertinggi Umno memecat Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir disifatkan wajar dan bukan suatu perkara luar biasa. Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu juga membuktikan Umno tidak pernah pilih kasih dalam mengenakan tindakan terhadap mana-mana anggotanya yang melanggar peraturan dan undang-undang parti. "Muhyiddin dan Mukhriz wajar diambil tindakan kerana mereka berada di pentasbersama pembangkang. Umno kecewa dengan sikap pemimpin seperti ini kerana tindakan memburukkan pemimpin dan kerajaan adalah bertentangan dengan perlembagaan parti," katanya kepada pemberita semasa menyampaikan sumbangan bantuan Aidilfitri di FELDA Sebertak, dekat sini, Sabtu. Oleh itu, pemecatan keahlian mereka berdua adalah wajar dan tindakan initidak menjejaskan parti Umno dalam memperjuangkan pembangunan negara, kata beliau. Ismail Sabri berkata semua anggota MT bersependapat dalam soal pemecatan kedua pemimpin tersebut manakala nasib Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang digantung keahliannya bakal diputuskan setelah semua laporan diperolehi. Katanya, setakat ini laporan mengenai sikap dan tindakan naib presiden itu belum dibentangkan atau diperolehi dengan selengkapnya. Beliau yang juga Anggota Parlimen Bera berkata tindakan itu juga mampu menguat dan memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan anggota parti.-Bernama