PUTRAJAYA: Kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dibuka kepada trafik sepenuhnya mulai 31 Januari 2015, akan berkuat kuasa bermula 12.01 tengah malam, 15 Julai 2016. Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md Salleh dalam kenyataan berkata, keputusan kerajaan melaksanakan kutipan tol di LPT2 selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, dibuat setelah mengambil kira kepentingan rakyat. "Kutipan tol di lebuh raya ini perlu dilakukan untuk membiayai kos penyenggaraan dan operasi termasuk penyediaan kemudahan seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya," katanya. Ismail berkata kadar tol permulaan bagi LPT2 adalah 12 sen/km bagi kenderaan Kelas 1 (kereta). Sebagai contoh, pengguna yang membuat perjalanan dari Plaza Tol Kuala Terengganu ke Plaza Tol Cheneh dan sebaliknya, akan dikenakan bayaran tol sebanyak RM19.70, katanya. Beliau berkata lebuh raya berkenaan akan melaksanakan kutipan tol secara sistem tol tertutup iaitu kadar tol akan dikira berdasarkan jarak perjalanan yang telah dilalui oleh pengguna. Terdapat 10 plaza tol di sepanjang jajaran LPT2 iaitu Plaza Tol Cheneh, Plaza Tol Chukai, Plaza Tol Kijal, Plaza Tol Kerteh dan Plaza Tol Paka. Lima lagi plaza tol ialah Plaza Tol Kuala Dungun, Plaza Tol Bukit Besi, Plaza Tol Ajil, Plaza Tol Telemong dan Plaza Tol Kuala Terengganu. Ismail berkata kerajaan telah melantik Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT 2 Sdn Bhd), sebuah syarikat milik penuh Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Berhad) untuk melaksanakan operasi, penyenggaraan dan kutipan tol di lebuh raya tersebut. LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor di Pahang hingga ke Kampung Gemuroh di Terengganu, merupakan lebuh raya empat lorong dua hala, dilengkapi dengan kemudahan 10 persimpangan bertingkat, tiga kawasan rehat dan rawat serta dua hentian sebelah.