suria

Dakwaan Juragan Bot Nelayan Diculik Disiasat - Polis Sabah

TAWAU: Pihak polis sedang menyiasat secara mendalam kesahihan dakwaan bahawa seorang juragan bot pukat tunda warga Indonesia diculik sekumpulan empat lelaki bersenjata di perairan Kinabatangan pada Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata pihaknya sedang mengambil keterangan daripada dua kru bot pukat tunda tersebut yang dibebaskan kumpulan berkenaan pada hari kejadian bagi mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku.

Dua kru tersebut membuat laporan polis semalam.

Beliau berkata tiga daripada empat individu berkenaan dikatakan bersenjatakan senjata M16, memakai pakaian celoreng sedikit lusuh serta menggunakan loghat bahasa Melayu bukan seperti percakapan rakyat tempatan.

Abdul Rashid berkata juragan berkenaan dikenali sebagai Herman Mangga, 30, berbangsa Bulukumba dan memiliki pasport Indonesia manakala dua kru tersebut dikenali sebagai Aryanto Basrun, 22, dan Muhamadin Ratin, 26, seorang warga tempatan.

"Dikatakan pada 3 Ogos, jam 4 petang, mereka dalam proses menunda pukat di kawasan laut. Dua kru ini berkata mereka berada dalam perairan Malaysia. Mereka berkata mereka dihampiri satu pump bot yang di dalamnya ada empat orang, tiga orang bersenjata M16, berpakaian celoreng sedikit lusuh dan seorang tidak bersenjata.

"Kemudian mereka menghampiri bot tunda itu dan membawa bot berkenaan ke satu pulau dekat perairan Filipina. Daripada situ, mereka bergerak lagi ke satu pulau lain.

"Daripada situ, mereka suruh (dua kru bot nelayan berkenaan) balik dan semua peralatan telekomunikasi termasuk telefon bimbit diambil mereka. Namun kru itu dibekalkan dengan GPS," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Abdul Rashid berkata dua kru tersebut kemudiannya menghubungi Pasukan Gerakan AM (PGA) Batalion Ke-15 dan telah menerima bantuan.

"Dikatakan penculik meminta RM10,000 dari majikan juragan itu. Pihak polis sedang menyiasat kes ini sama ada benar mereka diculik," katanya.

Beliau menambah pihak polis turut menyiasat lokasi sebenar kejadian.

Artikel Lain