suria

Lima Beradik Mahu Kejar Impian Selepas Peroleh MyKad

Dari kiri: Arjun, Vanitha, Kishok, Kasthuri dan Avilasha menunjukkan MyKad masing-masing.

SEREMBAN: Pelajar perubatan, G. Kasthuri dan empat adiknya meluahkan rasa seronok dan gembira selepas penantian untuk memperoleh MyKad masing-masing kini sudah berakhir.

Lima beradik itu yang sebelum ini memegang status bukan warganegara meskipun dilahirkan di sini, kini secara rasminya menjadi rakyat Malaysia selepas memperoleh MyKad masing-masing baru-baru ini.

"Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan rasa terima kasih kami terhadap mereka yang membantu kami adik-beradik," kata Kasthuri, 23, ketika ditemui di kediamannya di Taman Rasah Jaya dekat sini.

Masalah lima beradik itu untuk memperoleh MyKad dihadapi sejak lahir.

Ibu bapa mereka tidak dapat mendaftarkan perkahwinan mereka pada 1991 kerana ejen pekerjaan ibu mereka yang juga warga Filipina didakwa enggan memulangkan pasport milik wanita itu.

Akhirnya pada 2012, bapa lima beradik itu, T. Gunalan yang kini berusia 48 tahun berjaya mendaftarkan perkahwinan dengan Melodie Mariano, 46, selepas dia memperoleh pasportnya.

Apabila masalah lima beradik itu mendapat perhatian tahun lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa individu campur tangan untuk membantu.

Perjalanan mereka untuk mendapatkan MyKad memerlukan keluarga itu menjalani ujian DNA sebagai pra syarat untuk menyokong kes mereka bagi mendapatkan taraf warganegara Malaysia.

Mariano berterima kasih kepada pihak berkuasa di atas pemberian MyKad kepada lima anaknya dengan berkata anak-anaknya kini mempunyai masa depan yang cerah dalam sebuah negara yang diberkati.

Adik-beradik Kasthuri, Kishok, 22, Arjun, 17, Vanitha, 16 dan Avilasha, 15 berkata dengan MyKad tersebut mereka berharap dapat mengejar impian yang sebelum ini kelihatan samar.

Kasthuri merancang untuk memohon semula pinjaman pendidikan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyambung pengajian peringkat ijazah perubatan di sebuah universiti tempatan manakala Kishok mahu menjadi anggota polis.

"Saya diberitahu oleh seorang rakan bahawa permohonan akan dibuka bulan depan. Saya sudah menyediakan segala dokumen dan akan menghantarnya sebaik sahaja permohonan dibuka," kata Kishok.

Arjun yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini turut mahu mengikut jejak langkah abangnya.

Vanitha pula menyimpan impian untuk bergelar seorang jurutera kimia manakala Avilasha mahu menjadi seorang saintis.


MyKad, G. Kasthuri

Artikel Berikut

Artikel Lain