JOHOR BARU: Seorang pengawal keselamatan mati dibunuh berhampiran tempat ia bertugas di sebuah tapak pembinaan di Bandar Baru Permas Jaya, di sini pagi Ahad. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh ketika dihubungi berkata mangsa berusia 22 tahun itu dipercayai telah dipukul oleh sekumpulan lelaki pada pukul 5 pagi. Orang awam menemui mayat lelaki berkenaan dalam keadaan tidak berbaju selang lima jam setengah kemudian. "Kita menerima laporan penemuan mayat pada pukul 10.48 pagi dan hasil siasatan awal mendapati mangsa mati akibat kecederaan pada bahagian belakang badan, tangan kiri dan kanan serta kaki kiri," kata Sulaiman yang enggan mendedahkan identiti mangsa. Beliau berkata berikutan maklumat orang ramai dan risikan dibuat pihaknya, empat lelaki berusia antara 20 dan 26 tahun telah berjaya ditangkap di dua lokasi berbeza pada hari sama bagi membantu siasatan. "Tiga daripada suspek ditahan di Ayer Keroh, Melaka manakala seorang lagi di Johor Bahru. "Polis kini berusaha mengesan seorang lagi suspek," katanya. Sulaiman berkata pembunuhan dipercayai disebabkan pergaduhan kerana kesemua suspek mabuk dan berada di bawah pengaruh dadah. Suspek akan ditahan reman di bawah Seksyen 177 Kanun Prosedur Jenayah manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat. - BERNAMA