MELAKA: Satu garis panduan bagi pemilihan calon muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu dibuat agar calon berkenaan mendapat kepercayaan dan sokongan pengundi Barisan Nasional (BN). Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Idris Haron berkata garis panduan berkenaan termasuk kriteria yang bersesuaian bagi seorang calon muda antaranya ciri kepimpinan dan pengalaman atau jawatan yang disandang serta had umur yang mengklasifikasikan calon berkenaan sebagai calon muda. "Adalah mudah bagi kita untuk berkata calon muda tetapi apakah had umur yang bersesuaian untuk kita tetapkan. Lagipun calon muda semata-mata tanpa pengalaman atau latar belakang politik yang cukup boleh mempengaruhi undian pada PRU14 akan datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri Melaka di sini, Rabu. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usul Pemuda dan Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini yang mencadangkan 30 peratus calon PRU 14 terdiri daripada orang muda. Mengulas lanjut, katanya secara peribadi beliau bersetuju dengan usul berkenaan kerana cadangan itu membuka peluang kepada golongan muda untuk lebih aktif dalam politik dan menyumbang mengikut kepakaran masing-masing. Dalam perkembangan lain, Idris mengesahkan terdapat wakil rakyat BN sedia ada akan melepaskan jawatan dan tidak akan bertanding pada PRU14. Beliau berkata keputusan mereka dibuat secara sukarela dan disuarakan sendiri wakil rakyat berkenaan kepadanya atas sebab peribadi. "Dah ada yang sebut dan dimaklumkan sendiri (untuk tidak bertanding). Sudah pasti akan ada muka baharu. Saya tidak halang calon muda untuk ketengahkan diri mereka tetapi mereka perlu buat sesuatu...dekatkan diri dengan masyarakat dalam kerja kebajikan dan kemasyarakatan. Bukan hanya ikut Ketua Menteri atau wakil rakyat," katanya.