suria

Bekas YDP Selayang Bebas Sabitan Guna Wang PBT, Hukuman Penjara

PUTRAJAYA: Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Datuk Bakaruddin Othman bebas daripada sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM132,500 kerana menggunakan wang pihak berkuasa tempatan itu bagi penyelenggaraan rumahnya sendiri.

Ini berikutan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Wira Mohtarudin Baki membenarkan rayuan terakhir Bakaruddin, 62, selepas memutuskan sabitan dan hukuman itu adalah tidak selamat untuk dipertahankan.

Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil kemudiannya mengetepikan sabitan dan hukuman yang dibuat Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Tinggi Shah Alam. 

Mahkamah Rayuan juga mendapati rumah kepunyaan perayu (Bakaruddin) adalah rumah rasmi, oleh itu beliau layak untuk mendapat kos bagi membiayai penyelenggaraan rumah itu.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan peguam yang mewakili perayu Datuk Akbardin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh dan Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke. 

Bakaruddin didakwa menggunakan jawatannya sebagai Yang Dipertua MPS untuk mendapatkan suatu suapan dalam bentuk pembiayaan berjumlah RM26,500 bagi menyelenggara rumah miliknya di Kampung Laksamana, Batu Caves Selangor.

Pembiayaan itu didakwa diluluskan Bakaruddin di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sebut Harga MPS bertarikh 27 Oktober 2001 dengan dia mempunyai kepentingan langsung.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di Bangunan Majlis Perbandaran Selayang, Bandar Baru Selayang antara Jun 2001 hingga April 2002 mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama iaitu penjara minimun 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pada 20 Disember 2012, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman itu terhadap Bakaruddin selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan tersebut dan Mahkamah Tinggi Shah Alam juga mengekalkan sabitan dan hukuman itu selepas menolak rayuannya.-- Bernama

MPS, Mahkamah Rayuan

Artikel Sebelum

Sajat Isytihar Dirinya Wanita

Artikel Lain