PETALING JAYA: Pertemuan singkat sebelum ini membuatkan seorang guru besar tidak sempat mengenali seorang petugas stesen minyak warga emas di selatan tanah air yang berhati mulia. Namun kunjungan Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin, 34, ke stesen minyak Shell di Taman Perling, Johor Bahru pada petang Isnin membuahkan hasil apabila bertemu dengan individu dikenali sebagai Pakcik Hassan. “Alhamdulillah, saya dipertemukan kembali dengan Pakcik Hassan. Sehingga ke saat ini saya terharu dengan dia yang bermurah hati. “Tidak banyak yang dibualkan kerana ketika itu Pakcik Hassan sedang bertugas. Tapi, saya diberitahu dia mempunyai lapan anak dan enam cucu,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pekan Nanas, Pontian di Johor ini ketika dihubungi mStar Online. Pada Isnin, mStar Online melaporkan perkongsian kisah Ahmad Firdauz mengenai Pakcik Hassan yang sudi memberi duit raya selain mengajar tentang erti hormat kepada anaknya, Ammar Matiin, tiga tahun. Ahmad Firdauz berkata, dia difahamkan bahawa Pakcik Hassan sememangnya seorang yang peramah dan sering membantu orang lain. Kisah inspirasi Pakcik Shell dikongsikan di Facebook Firdauz Abdullah. Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa Pakcik Hassan sesuai dijadikan sebagai model di stesen minyak berdasarkan keperibadiannya yang memberi inspirasi kepada masyarakat. “Insiden poster gadis Shell sebelum ini menunjukkan segelintir masyarakat tidak menunjukkan sikap hormat, dan Pakcik Hassan pula menitikberatkan tentang hormat-menghormati. “Meletakkan individu yang biasa-biasa seperti Pakcik Hassan adalah wajar kerana kisah inspirasinya yang luar biasa,” kata Ahmad Firdauz yang merujuk poster gadis Shell yang ditarik balik baru-baru ini disebabkan tindakan kurang sopan segelintir individu terhadap poster tersebut sehingga tular di media sosial. Sementara itu, anak keempat kepada Hassan Basri Mohd Tara berkata, bapanya merupakan seorang yang tegas dalam membesarkan mereka lapan beradik. “Ayah seorang yang garang tetapi pada masa sama dia sangat suka bergurau. Dengan semua orang dia suka bergurau, dari kanak-kanak sampai yang dewasa. Ayah seorang yang begitu disenangi,” kata Hasmawati, 35 yang menetap di Kuala Lumpur. Menurut Hasmawati, kesemua adik-beradiknya amat mengambil berat tentang bapa mereka yang berusia 69 tahun dan ibu, Siti Rahmah Maarof, 68. “Ayah sejak dahulu begitu kuat bekerja demi membesarkan kami sekeluarga. Malah, sampai sekarang pun ayah tak suka duduk diam, ada saja kerja yang nak dibuatnya. "Kami mahu ayah berehat saja tetapi ayah lebih suka melakukan aktiviti luar. Sebagai anak, kami menyokong setiap yang dilakukan ayah selagi tidak memudaratkan. Melihat ayah gembira adalah kebahagian kami,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Terima Kasih 'Pakcik Shell'