suria

Kuba guling habis dijual dalam tempoh sejam

KOTA BARU: Sejenis kuih berwarna hitam dinamakan kuba guling tiba-tiba mendapat permintaan tinggi sehingga sukar dipenuhi peniaga kuih tersebut.

Kuih kuba guling Wan Suriana Wan Ali, sajian tradisional Thai yang dihasilkan menggunakan air arang tempurung kelapa mempunyai rasa yang unik dan laris bak pisang goreng panas di Rantau Panjang

Atas permintaan yang tinggi, peniaga kuih tersebut terpaksa menghadkan pembelian antara lima hingga 10 ketul kuih untuk setiap pelanggan sepanjang bulan Ramadan.

"Orang ramai beratur berjam-jam. Ramai kecewa apabila kuih itu habis sebelum giliran mereka," kata Wan Suriana.

Setiap talam mengandungi 30 ketul kuih kuba guling yang dijual pada harga RM1 satu.

Wan Suriana berkata resipi kuih yang berasal dari Thailand itu ditambah baik oleh bapanya.

"Pelanggan kami yang duduk di Gua Musang dan Terengganu sanggup datang semata-mata untuk membeli kuih ini," katanya.

Wan Suriana turut menjual 25 kuih lain di gerainya.

"Namun ramai berminat dengan kuih kuba guling," katanya.

Kuih itu dihasilkan menggunakan tepung beras, tepung jagung, gula dan air hitam yang ditapis dari arang tempurung kelapa.

Setelah siap, kuih itu akan disalut dengan kelapa parut.

"Pada mulanya ia dipanggil kuih hitam. Oleh kerana ia hitam seperti kerbau dan disalut dengan kelapa parut, netizen menggelar kuih itu sebagai kuba guling," katanya.

Gerai kuih Wan Suriana dibuka seawal pukul 4 petang.

"Kuih kuba guling habis dijual dalam masa satu jam," katanya.

kuba guling

Artikel Sebelum

Artikel Lain