KOTA TINGGI: Dua sahabat maut yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menonton perlawanan bola sepak piala dunia maut apabila motosikal ditunggang terlibat kemalangan di KM 67.5 Jalan Sungai Rengit Kota Tinggi, awal pagi Sabtu. Kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohamad Iman Firdauz Razak Jaffry, 19, dan Mohd Ezlan Nor Azman, 18, maut di lokasi kejadian. Mangsa yang menunggang motosikal masing-masing menghala ke Felda Pasak terlibat kemalangan dengan sebuah lori. Rakan mangsa, Muhammad Iqmal Amirudin, 19, berkata, ketika kejadian dia juga nyaris sama terlibat dengan kemalangan itu. "Kami berkumpulan masa tu tapi arwah dua-duanya mendahului kami di depan. Kami dalam perjalanan balik ke rumah selepas menonton perlawanan bola sepak di bandar. "Pada awalnya saya dapat lihat cahaya lampu motosikal arwah di depan. Tak lama lepas tu hilang sebelum tiba-tiba sahaja lori berada di depan kami. Saya sempat mengelak ketika itu. "Saya sempat menggoncang badan Iman namun dia tidak memberi apa-apa respon. Dalam masa sama saya juga melihat Mohd Ezlan sudah tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, pagi Ahad. Tambahnya, ke dua-dua sahabatnya itu merupakan rakan sekolahnya tetapi mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika mereka lepak bersama. Katanya, mereka berdua bergurau seperti biasa malah dia bersama Mohd Ezlan yang juga merupakan saudaranya sempat beraya bersama. "Kami sempat raya satu rumah kawan malam tadi. Sepatutnya beraya dua rumah tapi tak jadi. Selepas tu kami terus ke bandar lepak di kedai menonton perlawanan bola sepak. "Kami sampai dahulu sebelum Iman sampai kemudian sebab dia bekerja dan habis kerja jam 10.30 malam," katanya lagi. - Sinar Harian