suria

Ibu dedah anak minta susu sebelum tertusuk pisau

Supian memangku jenazah anaknya di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun pada Ahad. fotoBERNAMA

PERMINTAAN Nur Qhaisara Medina Supian, 2, untuk meminum susu adalah yang terakhir sebelum kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat tertusuk pisau.

Ibu mangsa Hana Mazlan, 27, berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Ahad, dia sedang tidurkan anak bongsunya di ruang dapur rumah di Kampung Teluk Pial Baroh, Kuala Kurau, Parit Buntar sebelum didatangi mangsa yang mahu minum susu.

“Semasa minta susu saya cakap dekat dia tunggu sekejap saya tengah buai anak bongsu. Dia (mangsa) kemudian pegi ke neneknya yang juga berada di bahagian dapur sebelum terpijak pinggan.

“Dia kemudian jatuh atas pinggan itu sebelum pisau yang berada di atas pinggan tertusuk di bahagian kiri perut. Pisau itu anak saya yang sulung guna untuk potong buah mempelam, saya tak tahu pisau itu ada di situ,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh pada Ahad.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata dia terus memangku anaknya yang tiba-tiba menangis dan mengosok-gosok badan anaknya sebelum menyedari pisau sepanjang 15 sentimeter itu tertusuk di perut mangsa.

“Selepas ibu mentua saya tarik pisau itu dan dia tak sedarkan diri. Kami bawa dia ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Parit Buntar dan disahkan meninggal dunia,” katanya dan menambah mangsa di bawa ke HRPB untuk bedah siasat.

Menurut Hana, semasa kejadian kesemua anaknya yang berumur 9 tahun hingga empat bulan serta kedua ibu bapa mentua berada di rumah dan ketika kejadian mangsa baru sahaja mandi dan tidak berpakaian.

Sementara itu, bapa mangsa Supian Samsuri, 42, yang bekerja sebagai pemandu jentera di Pertubuhan Peladang Negeri Perak Utara di Titi Serong berkata semasa kejadian dia sedang bekerja dan kejadian itu dimaklumkan oleh sepupunya kira-kira pukul 10 pagi.

Beliau berkata mangsa yang sebelum ini tidak banyak ragam, akhir-akhir ini suka menarik perhatian dan banyak ragam.

“Anak saya sebelum ini suka buat hal sendiri, tak kacau orang, tetapi sejak kebelakangan ini dia banyak ragam dan kerap duduk atas pangku saya,” katanya.

Katanya, mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Pial Baroh pada Isnin. - BERNAMA

tertusuk, pisau, susu

Artikel Lain