suria

"Saya hanya ulang apa diteriak penonton" - Najib mohon maaf kepada pekerja syif malam

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf di atas kenyataannya terhadap mereka yang bekerja pada malam atau menggunakan lebuh raya bertol selepas pukul 11 malam.

Najib berkata beliau tiada niat untuk mempersendakan golongan yang menggunakan kemudahan tersebut selepas pukul 11 malam.

Jelas Najib, beliau hanya mengulangi apa yang diperkatakan penonton yang hadir pada sembang santai bersama penduduk di Hulu Semenyih pada Isnin malam.

"Jika anda tonton klip video ini dari sesi sembang santai saya malam semalam (Isnin), saya hanya mengulangi apa yang diteriak oleh penonton yang berada di ceramah itu sebagai jawapan kepada soalan saya.

"Saya akui, saya telah terikut-ikut dengan jawapan dan respon diberikan penonton semalam.

"Saya dengan rendah hati mohon maaf jika ada yang berasa tersinggung," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Dalam program itu, Najib mengkritik cadangan kerajaan Pakatan Harapan memperkenalkan bayaran caj kesesakan menggantikan caj tol.

Antaranya menghapuskan kadar tol pada waktu 'off peak' antara pukul `11 malam dan 5 pagi.

Bagaimanapun, Najib mengulangi kritikannya bahawa rakyat Malaysia tidak akan dapat menikmati tol percuma itu.

"Dari 10 malam sampai 5 pagi, tidur tak tidur? Yang tak tidur siapa? Hantu tak tidur, lepas itu kaki botol tak tidur, kaki LGBT, yang cari pelanggan mungkin tak tidur, yang lain semua tidur, pukul 11 malam semua tidur," katanya.

Kenyataan Najib bagaimanapun dikecam beberapa pihak termasuk golongan bekerja pada waktu malam yang disifatkan sebagai tidak menghormati mereka.

Najib Tun Razak, tol, lebuh raya

Artikel Sebelum

Artikel Lain