IMPAK luar biasa kehadiran pandemik Covid-19 cukup dirasai di seluruh dunia. Selain menjejaskan kesejahteraan kesihatan rakyat, sektor ekonomi negara turut mengalami perubahan yang besar sepanjang tahun ini. Malah, keterbatasan yang wujud, ditambah dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksa banyak syarikat dan organisasi untuk mengubah operasi mereka seiring dengan pembudayaan norma baharu. Malah, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) turut membantu memulihkan industri terjejas sebagai salah satu usaha untuk memampankan dan memulihkan semula ekonomi negara. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mega Fortris (M) Sdn Bhd, Adrian Ng, kehadiran pandemik memaksa mereka melaksanakan program pendigitalan secepat mungkin agar syarikat itu terus bertahan walau apa jua berlaku. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mega Fortris (M) Sdn Bhd, Adrian Ng. "Dunia sedang menempuhi krisis kesihatan yang besar. Ia menjadi pandemik global dan Malaysia tidak terkecuali. "Dengan PKP, kami telah mempercepatkan pelaksanaan program pendigitalan. Bukan sahaja kami tidak melepaskan sebarang pekerja sewaktu PKP, malah kami menggaji lebih ramai lagi pekerja. "Sementara kami di dalam proses pendigitalan industri dan juga perniagaan itu sendiri, Miti menerusi agensi-agensi mereka telah banyak menyumbang kepada ekonomi Malaysia. "Ia terutamanya melalui Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). PKS sangat penting kerana mereka adalah tulang belakang negara," ujarnya. Selain Miti, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) turut memberi bantuan serta tunjuk ajar kepada pihak yang memerlukan di negara ini. Jelas Adrian, syarikatnya cukup menghargai peranan yang dipamerkan yang mana bantuan itu disifatkan cukup bernilai. "Ia merupakan sesuatu yang kami sangat hargai di Mega Fotris. Bantuan daripada Miti adalah sangat bernilai buat kami. Mega Fotris ditubuhkan pada tahun 1996. "Saya ingin nasihatkan kepada semua PKS, supaya lebih banyak berhubung dengan Miti melalui Matrade dan juga MPC," ujarnya. Tambah Adrian, ketiga-tiga pihak itu berperanan meletakkan kedudukan mereka pada hari ini dengan pelbagai kemudahan yang diberikan selama ini. Antara kemudahan yang diberikan Miti, Matrade dan MPC termasuklah tarif istimewa (melalui FTA), geran bagi eksport, pameran dan sebagainya sehingga mengukuhkan kedudukan mereka di luar Malaysia. "Dengan Matrade, kami berjaya menembusi pasaran yang sebelum ini kami tidak dapat masuk. Contohnya, Turki. "Matrade membantu menghubungkan kami dengan Turki. Dengan MPC, mereka memberikan kerangka kerja mengenai bagaimana perniagaan kami perlu beroperasi. MPC banyak menyumbang dalam memberi nasihat akan amalan terbaik yang pelru dilakukan," katanya lagi. Untuk rekod, Mega Fotris ditubuhkan pada tahun 1996 oleh Datuk Dr Nik Ng dan Adrian sendiri yang mana mereka telah berjaya menjadi antara pengeluar meterai keselamatan terbesar di dunia dalam tempoh 24 tahun lalu. Dedah Adrian, syarikat itu ditubuhkan tatkala Krisis Kewangan Asia 1997 sedang melanda yang mana ia disifatkan sebagai fasa yang cukup mencabar. Beroperasi di 25 negara, mereka mempunyai kira-kira 1,500 pekerja dalam kumpulan syarikat itu dan menghasilkan lebih kurang 500 juta meterai setahun. JIKA Mega Fortis berpuas hati dengan sumbangan dan kerjasama Miti, apa pula pengalaman yang dilalui perusahaan farmasi, Novartis Malaysia di mana fasa awal Covid-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagaikan satu igauan ngeri buat banyak syarikat di negara ini. Ada yang terpaksa mengurangkan jumlah pekerja, tak kurang juga yang terpaksa gulung tikar dan membiarkan impian terkubur begitu sahaja. Bukan hanya syarikat tempatan, malah syarikat asing yang bertapak di negara ini turut merasai kesan serupa. Presiden Novartis Malaysia, Patrik Grande. Menurut Presiden Novartis Malaysia, Patrik Grande, Covid-19 ternyata menjejaskan operasi syarikat yang terlibat dalam lapangan kerja perubatan itu. Namun katanya, syarikat yang berpusat di Switzerland itu berjaya menempuhi badai pandemik dan membuktikan bahawa mereka yang terbaik dalam industri tersebut. "Pandemik ini menjejaskan operasi semua industri kami. Lihat kembali enam bulan pertama tahun ini, kami telah menjadi syarikat multinasional yang paling pesat dengan prestasi terbaik dalam industri ini. "Kami telah memberi tumpuan kepada beberapa perkara, pertama adalah memanfaatkan teknologi data dan digital. Kedua, memastikan bekalan perubatan yang berterusan untuk pesakit. "Ketiga, kami memiliki salah satu daripada lima Pusat Perkhidmatan Global di Malaysia bagi memberi khidmat kepada negara-negara lain di Asia. "Keempat, kami memiliki komitmen daripada rakan-rakan kongsi bagi memastikan kami terus menjaga keselamatan dan perlindungan semua kakitangan sepanjang tahun 2020," jelasnya. Menurut Patrik, dia cukup kagum dengan sokongan yang diberikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan InvestKL sewaktu tiba ke negara ini suatu masa lalu. Novartis ditubuhkan lebih 100 tahun lalu, ia telah bertapak di Malaysia sejak 1971. Melalui kerjasama dua pihak itu, Novartis menikmati proses kelulusan ubat-ubatan yang cepat, pengecualian cukai dan sokongan demi mengeratkan hubungan dengan kerajaan. "Dari masa ke semasa, sokongan ini terus meningkat dan kolaborisi juga terus berkembang. Di Novartis, kami berasa bangga kerana di antara 700 lebih jawatan yang terdapat di Pusat Perkhidmatan Global, 90 peratus telah diisi oleh graduan STEM dan universiti tempatan. "Bagi Novartis, kerajaan telah membentuk sebuah suasana bisnes yang kondusif untuk menarik pelabur asing. "Ia juga penting bagi kami meneruskan rangka kerja makmal dan polisi yang stabil bagi memastikan kami mempunyai pelaburan berpanjangan," ujarnya. Tambah Patrik, dia cukup berpuas hati dengan kerjasama Miti dan Invest KL dengan Novartis selama ini. Malah, dia juga teruja untuk melihat hubungan itu berterusan pada masa akan datang. Mengenai Novartis, ia bertujuan mengimaginasi semula perubatan untuk pesakit melalui teknologi maju dan sains data, kata Patrik. Ditubuhkan lebih 100 tahun lalu, ia telah bertapak di Malaysia sejak 1971 yang berhasrat memberi khidmat kepada 32 juta pesakit. Mempunyai lebih 700 kakitangan, pada tahun lepas sahaja mereka telah memberi perkhidmatan kepada 600,000 pesakit. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!