suria

ATF 2025 pacu sektor pelancongan, negara Asean bersatu perkasa industri

Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman (kanan) mewakili Malaysia dan turut mempengerusikan Mesyuarat Pegawai Kanan NTO Asean 3 sempena ATF 2025.

FORUM Pelancongan Asean (ATF) 2025 yang bertemakan Perpaduan dalam Gerakan, Membentuk Pelancongan Asean Masa Depan melabuhkan tirainya pada Januari lalu.

Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dari 15 hingga 20 Januari, forum ini menonjolkan komitmen bersama negara serantau dalam memperkukuh pelancongan mampan, inklusif dan berdaya tahan selain mempererat kerjasama serta jalinan global.

Forum ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan kehadiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada majlis pembukaan pada 18 Januari.

ATF 2025 menghimpunkan menteri pelancongan, ketua-ketua Organisasi Pelancongan Nasional (NTO), pemimpin industri serta pemegang taruh dari negara-negara Asean dan rakan dialog seperti China, Jepun, Korea Selatan, India serta Rusia.

Antara acara utama ialah Mesyuarat Menteri Pelancongan Asean ke-28 (19 hingga 20 Januari) dan Mesyuarat NTO Asean ke-61 (16 hingga 17 Januari) yang berlangsung di DoubleTree by Hilton Johor Bahru.

Perbincangan tertumpu kepada strategi memperkukuh rangka kerja pelancongan serantau, meningkatkan daya tahan serta memajukan keutamaan bersama.

Antara pencapaian utama termasuk penilaian pelaksanaan Pelan Strategik Pelancongan Asean (ATSP) 2016 hingga 2025, pembangunan Asean Tourism Sectoral Plan Post-2025 (Pelan Sektoral Pelancongan Asean Pasca-2025), penyeragaman metrik prestasi pelancongan Asean, cadangan mekanisme pelancongan Asean-Australia dan penyediaan Asean Tourism Outlook Towards 2030 (Tinjauan Pelancongan Asean menuju 2030).

Selain itu, ATF 2025 turut menyaksikan penganjuran Pameran Pelancongan (Travex) yang menarik penyertaan 323 pembeli, 221 penjual, 221 pempamer serta 100 wakil media dari dalam dan luar rantau ini.

Acara ini menjadi platform bagi peserta membina kerjasama baharu dan memperkukuh hubungan sedia ada dalam industri pelancongan.

Persidangan Pelancongan Asean (ATC) pula menampilkan perbincangan mendalam mengenai trend pelancongan masa kini termasuk amalan pelancongan mampan, pemasaran digital, pelancongan pintar dan strategi daya tahan iklim.

Lebih 250 peserta yang terdiri daripada pembuat dasar, pemimpin industri serta akademik berkumpul bagi merangka hala tuju industri pelancongan serantau.

Pada 20 Januari, Anugerah Standard Pelancongan Asean turut diadakan dengan 30 pengusaha menerima Anugerah Homestay Asean kali kelima, 41 komuniti menerima Anugerah Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) Asean kali keempat, 41 lokasi menerima Anugerah Tandas Awam Asean kali ketiga dan 42 pengusaha spa dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Spa Asean kali ketiga.

Sebagai Pengerusi Asean 2025, Malaysia memanfaatkan ATF 2025 untuk mempromosikan industri pelancongan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan serta meletakkan rantau ini sebagai destinasi pelancongan yang bersatu dan diiktiraf di peringkat global.

Manakala, Filipina akan mengambil alih jawatan Pengerusi Asean pada 2026 dengan Cebu dipilih sebagai tuan rumah ATF seterusnya.

Perkukuh kerjasama pelancongan

Menerusi ATF 2025, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bersama Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan, TYT Yu In-Chon menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pelancongan, menandakan hubungan lebih erat antara Malaysia dan Korea Selatan dalam sektor ini.

MoU tersebut menjadi pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama dua hala, dengan kedua-dua negara komited dalam memajukan pertukaran budaya, perkongsian maklumat pelancongan, pembangunan pelancongan berasaskan komuniti serta eko-pelancongan.

Dengan termeterainya MoU ini, Malaysia dan Korea Selatan mengukuhkan azam untuk meningkatkan hubungan dua hala dalam sektor pelancongan melalui pertukaran budaya, peluang ekonomi serta meningkatkan ketibaan dan pendapatan pelancongan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi MOTAC www.motac.gov.my.

Artikel Lain