SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa yang dia melihat ibu Zayn Rayyan Abdul Matin sebanyak dua kali pada hari kanak-kanak autisme itu hilang.
Menurut Rashidah Rajali yang juga saksi pendakwaan ke-16, dia menetap satu aras dengan ibu bapa arwah Zayn Rayyan.
Imbas wanita itu, dia terserempak dengan Ismanira Abdul Manaf pada pukul 12.15 dan 12.45 tengah hari.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Rashidah berkata dia melihat ibu Zayn Rayyan memakai pakaian berbeza selang 20 minit pada hari tersebut.
Pendakwaan: Apa yang berlaku pada tarikh itu?
Rashidah: Pada pukul 12.15 tengah hari, semasa saya mahu turun ke tingkat bawah untuk menghantar anak ke sekolah, saya terserempak dengan ibu Zayn Rayyan di tangga.
Pendakwaan: Puan ingat pakaiannya?
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa Zayn Rayyan beremosi, sebak tengok foto bedah siasat anak
Rashidah: Ingat, dia pakai tudung berwarna hitam, berbaju putih tapi tidak pasti kain atau seluar ‘palazzo’, ia berwarna hitam.
Pendakwaan: Kemudian?
Rashidah: Pada pukul 12.35 tengah hari, semasa mahu pulang ke rumah, saya berselisih lagi dengan Ismanira di tangga, dia mahu turun, masa itu dia hanya menggalas beg silang, memakai tudung bercorak warna gelap.
Pendakwaan: Adakah pakaiannya pada pukul 12.15 tengah hari, berbeza dengan ketika puan terserempak 12.35 tengah hari?
Rashidah: Tak sama, lain.
Saksi memaklumkan hal itu pada hari ketujuh prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian melibatkan ibu bapa arwah Zayn Rayyan.
Untuk rekod, Ismanira dan suaminya Zaim Ikhwan Zahari dituduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Bagaimanapun, pada 12 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada hari berikutnya.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan mati di dalam sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.
Mangsa dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemukan 200 meter daripada kawasan perumahannya.