suria

Selalu kongsi video di TikTok, doktor perjelas hanya ambil masa seminit siapkan satu video - “Ada orang tanya, saya ni tak ada kerja ke?”

Dr Amir mula berjinak-jinak dengan TikTok pada tahun lalu.

JIKA suatu masa lalu aplikasi TikTok sering menerima tanggapan negatif, kini segalanya bagaikan sudah berubah.

Malah, kebanjiran golongan profesional dan akademik yang berkongsi kepakaran masing-masing menerusi video pendek turut menjadikan TikTok sebagai satu medium bermanfaat buat anggota masyarakat.

Tidak terkecuali, seorang doktor di Kedah turut menjadikan aplikasi berkenaan sebagai platform untuknya merungkai segala persoalan kesihatan netizen sehingga meraih lebih 133,000 pengikut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih TikTok platform berdakwah... gadis berpurdah seawal usia 14 tahun hampir menangis saat terima mesej individu luah hasrat berhijrah

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar jurusan dakwah terkejut video TikTok isu LGBT boleh hit, ramai rasa nak berubah

Bercakap kepada mStar, Dr Amir Aqram Azizi, 33, mendedahkan mula berjinak-jinak dengan aplikasi itu pada pertengahan tahun lalu.

"Sebenarnya saya muat turun aplikasi ini secara suka-suka sahaja. Pada waktu itu saya lihat doktor dari luar negara banyak membuat perkongsian di TikTok.

"Saya nak menulis tak ada masa. Saya lihat ia sangat mudah di TikTok, video pendek sahaja. Bila saya mula berkongsi, ada kawan yang tanya... boleh ke buat macam ni?

Antara video yang dikongsi di TikTok.

"Saya kata ia sama sahaja sebagaimana perkongsian penulisan di Facebook, cuma yang ini dalam bentuk video pendek," ujarnya.

Mesra disapa Dr Amir, dia mendedahkan dihujani pelbagai soalan berkaitan kesihatan daripada netizen sehingga tidak menang tangan untuk memberi jawapan.

Malah katanya, kebanyakan golongan muda cukup meminati topik berkaitan penjagaan kulit wajah yang cukup sinonim dengan mereka.

Kita cuba didik masyarakat dengan fakta yang tepat. Didik mereka apa yang betul dan apa yang salah.

DR AMIR

"Saya memang tak dapat nak jawab semua. Ada orang tanya, saya ni tak ada kerja ke? Sebenarnya saya habiskan seminit sahaja untuk satu video.

"Memang tak dapat nak jawab semua. Saya juga gembira lihat doktor lain turut membuat perkongsian ilmu di TikTok.

"Saya punya interest banyak berkaitan kulit. Sebab saya sendiri pun alami masalah kulit wajah waktu belajar dulu.

"Topik ini kena dengan golongan remaja. Tapi masa awal-awal dulu, saya berkongsi mengenai topik untuk meningkatkan peluang mendapatkan cahaya mata.

Dr Amir gembira melihat ramai doktor lain turut aktif berkongsi ilmu di media sosial.

"Selain golongan dewasa yang dah kahwin, remaja pun ramai di TikTok saya. Pada masa sama saya selit juga mengenai isu kesihatan mental," ujarnya yang berpengalaman sembilan tahun dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Mengulas aplikasi itu, Dr Amir berkata dia melihat perubahan drastik sejak tahun lalu yang mana banyak kandungan ilmiah mula dikongsi menerusi TikTok.

"Kita cuba didik masyarakat dengan fakta yang tepat. Didik mereka apa yang betul dan apa yang salah. Saya tengok perkembangan di TikTok sangat drastik.

"Saya juga lihat ramai pakar lain buat perkongsian. Jadi semakin ramai yang akan dapat manfaat," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain