suria

Saham akhirat! Tawar motor RXZ RM20,000, Batman tak menang tangan layan mesej... niat guna hasil jualan bina surau tapi ramai salah faham

Izrul sayang untuk melepaskan motosikal berkenaan, namun menganggap ia sebagai saham akhirat buatnya.

IKLAN memaparkan sebuah motosikal Yamaha RXZ Millenium yang dijual pada harga RM20,000 demi mengumpul dana pembinaan surau meraih perhatian ramai di Facebook.

Menurut pemiliknya, Izrul Nizam, 39, surau berkenaan bakal dibina di sebuah pusat rekreasi milik penjelajah negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin yang terletak di Sungai Itik, Gopeng, Perak.

Jelas Izrul yang turut dikenali sebagai Batman atau Bat Jacko, dia menyuarakan hasrat itu kepada Qobin selepas berkunjung sendiri ke pusat rekreasi tersebut baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Terjejas sejak PKP, jurugambar jual barang kesayangan demi sambut kelahiran ahli keluarga baharu... tak boleh rentas negeri punca urus niaga lambat

ARTIKEL BERKAITAN: Tak gamak lihat makcik terbaring dalam ruang tepi motor roda tiga di tengah panas, netizen mula korek info nak hulur bantuan... tangan itu bukti di Padang Mahsyar!

"Saya dijemput ke tempat itu baru-baru ini. Luas tempatnya. Ada chalet, ada tempat berkemah, betul-betul di tepi sungai. Saya tertarik dengan tempat itu. Saya kata pada sahabat saya, apa kata kita buat surau?

"Dengan adanya surau, boleh buat program keagamaan dan jemput penceramah. Nak buat apa-apa program pun mudah. Kalau boleh, biarlah dibina surau yang proper dengan ada kubah sekali.

"Saya kata, untuk memulakan projek ini, biar saya jual motor RXZ. Saya nak jual pada harga RM20,000 dan keseluruhan wang tersebut akan disalurkan untuk pembinaan surau berkenaan," ujarnya ketika dihubungi mStar pada Selasa.

bat2

Izrul membeli motosikal ini pada harga RM15,500 pada tahun lepas.

Menurut Izrul yang mengusahakan kedai pemasangan tinted kereta di Setapak, Kuala Lumpur, dia sejujurnya sayang untuk melepaskan motosikal berkenaan, namun menganggap ia sebagai saham akhirat.

"Saya baru beli motor itu tahun lepas, pada harga RM15,500. Saya juga dah baiki semula motor tu, tukar semua yang baru. Memang sayang, saya pun tak pernah ride jauh lagi dengan motor tu.

"Saya bukanlah baru main motor. Saya dah pakai RXZ sejak tahun 90-an lagi. Tapi Nabi Muhammad SAW pun ada cakap, kalau nak menderma atau infaq, bagilah benda yang paling kita sayang.

"Inilah ujian untuk saya. Sanggup ke tidak berkorban untuk agama? Sanggup tak lepaskan benda yang paling sayang? Sedih tapi saya rela lepaskan," ujarnya lagi.

Kalau ada sesiapa yang beli, duit RM20,000 tu boleh beri terus kepada tuan tanah untuk buat surau. Saya tak mahu tengok pun duit tu.

IZRUL

Menurut Izrul lagi, dia juga tak menang tangan melayan mesej orang ramai sejurus posting iklan di Facebook itu tular.

Namun kata Izrul, ada yang turut salah faham dan membuat tawaran harga sedangkan niat asalnya bukanlah untuk menjual motosikal semata-mata.

"Beratus orang mesej, tapi sehingga kini belum jumpa pembeli. Ramai yang salah faham dan minta saya kurangkan harga. Saya tulis di situ, nak jual untuk buat surau. Sambil beli, sambil infaq, boleh buat saham akhirat.

"Ada juga yang datang bawa RM18,000. Saya macam kesian, tapi saya bukan nak jual motor. Saya memang niat nak cari RM20,000 untuk pembinaan surau itu.

bat3

Posting yang dikongsi menerusi Facebook.

"Jadi ini menjadi ujian untuk saya dan pembeli itu juga. Katakan dia dah ada RM18,000. Tambah lagi RM2,000, maka cukuplah nilai RM20,000. Dia bukan saja dapat motor, tapi dapat saham akhirat.

"Kalau ada sesiapa yang beli, duit RM20,000 tu boleh beri terus kepada tuan tanah untuk buat surau. Saya tak mahu tengok pun duit tu. Pembeli hanya perlu jumpa saya untuk urusan ambil motor dan tukar nama saja," ujarnya yang menetap di Damansara.

Menurut Izrul, sesiapa yang berminat untuk membeli motosikal berkenaan boleh sahaja menghubunginya menerusi Facebook.

Jelasnya lagi, motosikal keluaran tahun 2001 itu memiliki nombor pendaftaran tiga angka dan berada dalam keadaan baik selepas diubah suai dengan kelengkapan original.

Setakat ini, proses pembinaan belum dimulakan namun tanah di tapak surau itu sudah diratakan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain