suria

Kenali mStar

Laman web mStar secara rasminya menemui pembaca pada 15 Oktober 2005, diterbitkan oleh Star Media Group Berhad, menjadikan ia satu-satunya portal berbahasa Melayu pertama bawah syarikat ini yang sinonim dalam penerbitan akhbar berbahasa Inggeris iaitu The Star.

Idea menerbitkan mStar dicetuskan apabila pihak SMGB mahu mengambil peluang meneroka satu platform baharu khususnya dalam era digital untuk sasaran pembaca Melayu.

Di awal penerbitannya, mStar lebih dikenali sebagai portal yang mengutamakan kandungan berita dengan laporan berbentuk politik, jenayah, mahkamah, hiburan, sukan, isu semasa dalam dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan mStar di Putrajaya pada 31 Oktober 2005.

Namun, sejajar dengan perubahan dunia digital yang semakin meningkat, kandungannya sentiasa berubah bagi memenuhi kehendak dan impian para pembaca khususnya bagi golongan berusia antara 18 - 44 tahun.

mStar secara rasmi dilancarkan pada 31 Oktober 2005 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas lebih dua minggu menemui pembaca.

Transformasi

Pada 17 April 2014, mStar melalui proses transformasi apabila wajah baharunya dilancarkan dengan menambah baik kandungan yang ketika itu lebih tertumpu kepada berita dan hiburan.

Namun bagi memenuhi selera pembaca yang terdiri daripada golongan muda dan pertengahan usia, maka kandungannya diperkemaskan lagi pada 20 November 2018 dengan corak penulisan sebelumnya berbentuk berita diubah kepada pendekatan yang lebih ‘trendy’ bertemakan ‘Urban dan Versatil’.

Urban memberi definasi paparan kandungannya lebih tertumpu kepada generasi moden tanpa mengenepikan kumpulan sasar lain.

Versatil pula membawa pengertian portal ini menyediakan pelbagai jenis kandungan untuk semua peringkat pembaca merangkumi kisah-kisah viral, personaliti, pelancongan, mistik, kekeluargaan, kisah masyarakat, keagamaan, hiburan dan sensasi.

Sejak dilancarkan dengan konsep yang lebih fokus kepada golongan sasar, mStar yang dikenali dengan kandungan hot, viral dan sensasi akhirnya berjaya menjadi portal paling popular (sumber: Similar Web 2020/2021) bagi kandungan berkonsepkan gaya hidup dan hiburan dengan jumlah paparan halaman bulanan mencecah lebih 26 juta dan hampir 8 juta pembaca unik (sumber: Google Analytic).

Media Sosial & Kelab Peminat

mStar tidak mahu ketinggalan menjadikan media sosial sebagai penghubung dengan pembaca untuk menggalakkan penglibatan orang ramai dalam setiap perkongsian yang dimuat naik.

Bagi merapatkan hubungan itu, grup ‘chat’ kelab peminat mStar Rojer melalui medium Telegram telah dilancarkan pada 13 April 2021.

mStar juga mempunyai grup Telegram channel yang diperkenalkan untuk berkongsi pautan artikel bagi membolehkan pembaca mendapatkan maklumat dengan pantas tanpa perlu melayari laman web.

Bagi kandungan berbentuk visual, platform YouTube dan Dailymotion mStar turut mendapat sambutan apabila kebanyakan video yang diterbitkan berjaya memasuki senarai ‘trending’ selain ia mencecah lebih 1 juta jumlah tontonan.

Subsidiari SMGB

Pencapaian memberangsangkan mStar menyebabkan pihak SMGB merasakan tibalah masanya untuk portal ini berdiri dengan sendiri dalam menguruskan perniagaannya.

Pada 1 April 2021, mStar secara rasminya diletakkan bawah Magnet Biz Sdn. Bhd. iaitu sebuah subsidiari milik SMGB.

Pengiktirafan

mStar juga turut diiktiraf pada peringkat antarabangsa apabila dianugerahkan Pingat Gangsa bagi Laman Web Gaya Hidup Terbaik Asia, Anugerah Media Digital Asia 2015 yang diadakan di Hong Kong pada 18 November 2015. Ia dianjurkan oleh World Association of Newspapers and News Publishers (WAN-Ifra).

Pada 18 Ogos 2016 mStar menerima Anugerah Spark 2016 untuk kecemerlangan media Asia Pasifik bawah kategori ‘Acara Terbaik Oleh Pemilik Media’ yang berlangsung di Singapura.

Di peringkat nasional pula, mStar merangkul anugerah Kritikan Filem Terbaik, anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang dianjurkan pada 26 November 2017.

mStar turut menerima tempat kedua bagi penerbitan video dokumentari Anugerah Media Pembinaan CIDB 2018 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia pada 3 Disember 2018.

Klik untuk jadi pengikut laman sosial mStar berikut: