TENOM: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bercadang mewujudkan sebuah pusat pemasaran hasil pertanian dan produk makanan di Sabah bagi merancakkan sektor pertanian dan industri berasaskan pertanian di negeri ini. Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata pusat pemasaran seperti yang terdapat di Satok, Kuching, Sarawak itu juga akan memberi manfaat kepada golongan petani untuk menikmati hasil titik peluh mereka secara wajar. "Saya telah singgah di daerah Putatan dan melihat tanah yang dipersetujui oleh pihak berkuasa tempatan untuk kita bangunkan sebuah pusat pemasaran pertanian seperti yang terdapat di Satok, Kuching, Sarawak. "Hasil-hasil tanaman, pengeluaran dan produk makanan kita boleh himpunkan dan di situ (lokasi itu) adalah laluan lebuh raya dari negara Brunei. Maknanya, tarikan pelancongan dan pengguna-pengguna tempatan amat tinggi. Jadi harus kita pertingkatkan (wujudkan) tapak yang sesuai," katanya seperti dilaporkan Bernama. Badruddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Bersama Usahawan dan Peserta Ladang Kontrak Daerah Tenom di sini pada Isnin yang turut dihadiri Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak dan Pengarah FAMA Sabah Ribin Wahid. Menurut Badruddin, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri Sabah serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berhubung cadangan itu dan sekiranya semuanya berjalan lancar, pihak FAMA akan melaksanakan program berkenaan pada tahun ini. Katanya apabila siap kelak, hasil-hasil pengeluaran pertanian di Sabah, jenis-jenis makanan berasal dari seluruh Sabah yang dihasilkan pelbagai suku kaum akan dipasarkan kepada pengguna di dalam negara serta pelancong luar. "Makanan Kadazan Dusun, Bajau dan Murut boleh diperkenalkan di situ. Jadi pengunjung bukan sahaja mengenali kaum-kaum di Sabah tetapi merasai makanan mereka," katanya. Katanya reka bentuk pusat berkenaan akan direka berasaskan kebudayaan serta kesenian negeri Sabah agar ianya menjadi satu lagi daya tarikan pelancongan di negeri ini. Badruddin berkata FAMA turut berminat untuk mewujudkan medan buah-buahan tempatan di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu bagi membolehkan pelancong menikmatinya sekali gus menjadi produk pelancongan negeri ini. Mengenai rungutan petani di Tenom, Badruddin berkata FAMA akan mewujudkan sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian di daerah berkenaan dan dijangka mula beroperasi April ini. Katanya selain pusat pengumpulan berkenaan, FAMA juga bercadang mewujudkan pusat pengumpulan mini hasil pertanian di kawasan-kawasan tertentu bagi memudahkan petani memasarkan hasil mereka dengan FAMA.