suria

FGV: Mesyuarat Berjalan Lancar, Tingkat Prestasi

KUALA LUMPUR: Mesyuarat selama tiga jam bersama pengurusan kanan Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV) di Menara Felda memberi fokus kepada pelan dan usaha untuk meningkatkan prestasi syarikat, kata Pengerusi baharunya Datuk Wira Azhar Abdul Hamid.

Menurut beliau langkah tersebut dilihat penting agar syarikat tampil kompetitif dan dapat mencapai pertumbuhan yang mampan pada masa hadapan.

"Walaupun syarikat berhadapan dengan krisis, namun situasi itu bukan penghalang kepada FGV untuk terus meningkatkan momentum perniagaan.

"Kita fokus yang baik-baik sahaja untuk selesaikan satu persatu masalah secara berperingkat," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat di sini hari ini.

Ditanya mengenai status Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad, yang dipaksa bercuti berkuat kuasa serta-merta oleh lembaga pengarah syarikat pada 6 Jun lepas, Azhar berkata beliau akan mendapatkan nasihat pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Katanya perkara itu kemungkinan akan dibawa pada aturan mesyuarat 3 petang ini untuk dibincangkan.

"Petang ini kita bincang, mungkin delay (lambat) sikit. Nanti kita kena ambil nasihat (sebelum buat keputusan).

"Operasi syarikat kena berjalan. Jangan berhenti. Kita cuma nak pastikan prestasi syarikat kembali kepada landasan sebenar demi mengembali keyakinan dan menjaga semua pihak berkepentingan, termasuk pemegang saham," katanya.-Bernama

FGV

Artikel Sebelum

Saham FGV Dapat Perhatian

Artikel Berikut

Artikel Lain